KUALA LUMPUR 8 April – Ketidakstabilan geopolitik global dijangka menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan berbilion ringgit ke dalam sektor pusat data Malaysia, menurut analisis terbaharu oleh Juwai IQI.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan itu, Kashif Ansari berkata risiko terhadap infrastruktur digital kini menjadi kebimbangan utama pelabur global susulan konflik yang semakin memuncak di beberapa rantau strategik.
Beliau merujuk kepada insiden serangan dron pada awal Mac yang merosakkan pusat data milik Amazon Web Services di Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain, sekali gus mengganggu perkhidmatan awan di rantau tersebut.
Menurutnya, kejadian itu menjadi isyarat jelas bahawa aset digital bernilai tinggi juga terdedah kepada risiko kemusnahan fizikal, sekali gus mendorong pelabur menilai semula strategi lokasi mereka.
“Apabila pelabur menyedari bahawa berbilion dolar infrastruktur boleh terjejas, mereka tidak semestinya keluar sepenuhnya dari sesuatu pasaran, sebaliknya akan mempelbagaikan pelaburan bagi mengurangkan risiko,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam konteks itu, Malaysia dilihat sebagai destinasi alternatif yang semakin mendapat perhatian kerana menawarkan keseimbangan antara kos, kestabilan dan akses pasaran.
Ansari berkata, walaupun sebahagian besar pelaburan di rantau Teluk akan diteruskan kerana disokong oleh modal berdaulat dan strategi jangka panjang, pengendali pusat data kini mula mengalihkan sebahagian pelaburan ke negara seperti Malaysia.
Malah, katanya, peralihan sekecil 0.23% daripada pelaburan pusat data yang dirancang di rantau Teluk sudah cukup untuk membawa tambahan sekurang-kurangnya RM2.74 bilion ke Malaysia.
“Ini menunjukkan walaupun hanya sebahagian kecil pelaburan dialihkan, impaknya kepada pasaran tempatan adalah signifikan,” ujarnya.

Menurut beliau, Malaysia berada dalam kedudukan “sweet spot” dari segi geopolitik kerana relatif neutral dan kurang terdedah kepada konflik besar, menjadikannya lokasi sesuai untuk strategi kepelbagaian risiko.
Selain itu, negara ini menawarkan kos pembinaan pusat data antara yang terendah di Asia Tenggara, di samping infrastruktur sokongan yang matang termasuk rangkaian gentian optik, grid tenaga yang stabil serta sistem logistik yang cekap.
Malaysia juga mempunyai kelebihan dari segi kesalinghubungan digital dengan akses kepada lebih 20 kabel dasar laut antarabangsa, membolehkan penghantaran data berkelajuan tinggi dan kependaman rendah ke seluruh Asia.
Sebelum konflik tercetus, pasaran pusat data Malaysia telah pun diunjurkan berkembang pada kadar tahunan 22.4% untuk mencecah RM54.8 bilion menjelang 2030, hampir tiga kali ganda daripada saiz semasa.
Bagaimanapun, berdasarkan tiga senario yang dimodelkan oleh IQI, nilai pasaran itu kini berpotensi meningkat kepada antara RM57.52 bilion hingga RM68.46 bilion dalam tempoh sama.
Ini mewakili tambahan pelaburan antara RM2.74 bilion hingga RM13.69 bilion berbanding unjuran asas sebelum konflik, bergantung kepada tahap peralihan modal global.
Ansari menegaskan bahawa unjuran tersebut masih konservatif kerana ia hanya mengambil kira sebahagian kecil daripada lebih RM1.2 trilion pelaburan pusat data yang kini berdepan risiko di rantau Teluk.
Dalam jangka panjang, pembangunan sektor ini dijangka memberi impak besar kepada ekonomi negara, dengan anggaran oleh KPMG menunjukkan pusat data berpotensi menyumbang sehingga RM138 bilion kepada output ekonomi menjelang 2030.
Selain itu, sektor berkenaan dijangka menjana sekitar RM47.6 bilion nilai tambah kasar serta mewujudkan kira-kira 30,900 peluang pekerjaan, bersamaan sekitar 4.1% daripada keseluruhan ekonomi negara.
Perkembangan ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab pusat data serantau, khususnya ketika pelabur global semakin menitikberatkan faktor keselamatan, kestabilan dan kepelbagaian risiko dalam membuat keputusan pelaburan. - DagangNews.com








