KUALA LUMPUR 25 Jun – Malaysia dilihat mampu muncul sebagai hab tenaga gas asli cecair (LNG) yang diyakini dan selamat susulan peningkatan risiko geopolitik di Asia Barat, menurut pakar industri.
Konflik di Selat Hormuz dan Laut Merah, akibat ketegangan antara Iran, Israel dan puak Houthi Yaman, telah mendorong penilaian semula terhadap rantaian bekalan LNG global.
Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata, Malaysia melalui Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dilihat berada pada kedudukan strategik untuk mendapat kelebihan.
"Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor menawarkan kestabilan dan kedudukan yang strategik berhampiran pasaran utama iaitu kelebihan yang tidak dapat dijamin oleh Asia Barat," katanya dalam satu kenyataan.
PIC merupakan usaha sama antara PETRONAS dan Saudi Aramco serta merupakan aset hiliran terpenting.
Menurut Reuters, kira-kira 20% permintaan minyak dan gas global mengalir melalui Selat Hormuz yang terletak antara Iran dan Oman.
Qatar merupakan pengeksport LNG terbesar dunia, menghantar hampir keseluruhan eksportnya melalui laluan itu.
Sarjana maritim dan penganalisis, Nazery Khalid berkata, Malaysia boleh memperluas kapasiti pembekalan bahan api marin dan perkhidmatan sokongan di Pelabuhan Klang bagi memanfaatkan peralihan trafik kapal ke Asia.
"Pelabuhan Klang merupakan pintu masuk utama minyak mentah melalui Selat Melaka. Kapasiti pembekalan perlu dipertingkatkan," katanya.
Ketika ini, tiga sumber utama import minyak mentah Malaysia termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Brazil.
Malaysia mempunyai infrastruktur iaitu Pelabuhan Bintulu sebagai terminal eksport LNG utama dunia, loji pengewapan semula gas di Melaka, serta kemudahan di Pengerang.
Mengenai peningkatan kadar pengangkutan LNG, Nazery berkata, ia boleh memberi kesan kepada perdagangan tenaga Malaysia, namun terlalu awal untuk menilai sepenuhnya.
Pengimport tetap terikat dengan kontrak untuk membawa masuk sejumlah minyak tertentu dan terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi dikenakan oleh pengendali kapal tangki utama.- DagangNews.com








