KUALA LUMPUR 1 Jan - Lapangan terbang di seluruh negara bersedia sepenuhnya menyambut ketibaan pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang bermula tepat tengah malam tadi, dengan pelaksanaan aktiviti sambutan bersepadu di 19 lapangan terbang, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Program sambutan dikenali sebagai Ambang VM2026 mencerminkan tahap kesiapsiagaan rangkaian lapangan terbang negara dalam mengendalikan peningkatan jumlah penumpang, di samping memastikan piawaian perkhidmatan yang konsisten di setiap pintu masuk.
Sebagai pengendali pintu masuk utama negara, Malaysia Airports Holdings Bhd telah memperkukuh keseluruhan rangkaian lapangan terbangnya menjelang VM2026 bagi memastikan pengalaman ketibaan yang lancar, cekap dan mesra pelawat, disokong oleh kecekapan operasi serta penambahbaikan kemudahan di lapangan terbang antarabangsa dan domestik.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, keutamaan kumpulan sepanjang VM2026 adalah mengurus peningkatan trafik penumpang sambil mengekalkan prestasi operasi yang stabil di semua lapangan terbang.
“Semua lapangan terbang di bawah kendalian kami beroperasi mengikut rangka kerja bersepadu di peringkat nasional bagi memastikan piawaian perkhidmatan yang sama di setiap pintu masuk. Fokus kami adalah pada penggunaan aset yang cekap, proses operasi yang mantap serta koordinasi rapat dengan rakan syarikat penerbangan,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan Malaysia Airports menyokong pertumbuhan kesalinghubungan udara, mengurus aliran penumpang pada waktu puncak secara berkesan serta menyampaikan operasi lapangan terbang yang boleh dipercayai, sejajar dengan jangkaan antarabangsa sama ada di pintu masuk utama mahupun lapangan terbang domestik.

Bagi menterjemahkan strategi tersebut kepada pelaksanaan di lapangan, lapangan terbang di seluruh negara menjalani penambahbaikan bersasar sepanjang 2025, dengan pemodenan menyeluruh KLIA menjadi teras utama program berkenaan.
Di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA, lebih 30 inisiatif penambahbaikan dilaksanakan bagi menyokong perjalanan penumpang yang lebih lancar dan inklusif. Ia merangkumi peningkatan sistem pemprosesan penumpang, peluasan kemudahan layan diri, naik taraf kemudahan awam serta penawaran komersial yang dipertingkat.
Antara inisiatif utama termasuk naik taraf kaunter daftar masuk dan kios open bag drop, pelaksanaan sistem pengurusan akses kenderaan bagi melancarkan aliran trafik di kawasan kerbside, penyediaan 12,500 troli baharu, 100 kerusi roda percuma dan 210 kereta sorong bayi.
Kemudahan mesra keluarga turut dipertingkat melalui pembinaan tandas khas keluarga, ruang menunggu berkonsep terbuka yang diperbaharui, naik taraf kemudahan surau serta pelancaran Calm Room di Terminal 2 bagi penumpang dengan keperluan khas atau ketidakupayaan tersembunyi.
Selari dengan usaha memastikan pengalaman VM2026 bermula di setiap pintu masuk, Malaysia Airports turut mempercepat penambahbaikan di lapangan terbang lain termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu serta beberapa lapangan terbang domestik terpilih.

Penambahbaikan tersebut merangkumi pelaksanaan Self Service Bag Drop, sistem parkir tanpa tunai, naik taraf eskalator serta pembaharuan surau dan tandas, sekali gus memastikan tahap kualiti perkhidmatan yang konsisten di seluruh rangkaian lapangan terbang.
Selain peningkatan fizikal, VM2026 turut menyaksikan pengalaman komersial yang dipertingkat di seluruh rangkaian Malaysia Airports, dengan peluasan tawaran runcit serta makanan dan minuman yang menampilkan gabungan jenama tempatan dan antarabangsa, experiential pop-ups serta keperluan perjalanan.
Antara sorotan utama termasuk kerjasama dengan LEGO melalui aktivasi bertema dan tawaran eksklusif, selain kempen Licence to Win yang diperbaharui dan kini diperluas kepada pengunjung bukan pembeli.
Pembukaan kedai baharu seperti Arabica, Läderach, Fred’s, Rituals dan Charlotte Tilbury di Terminal 2 turut menambah pilihan serta kemudahan kepada penumpang, di samping mengetengahkan kreativiti tempatan dan meningkatkan pengalaman lapangan terbang dari ketibaan hingga berlepas.
Seiring dengan penambahbaikan berfokuskan penumpang, Malaysia Airports turut memperkukuh strategi libat urus dengan syarikat penerbangan bagi menyokong pertumbuhan kesalinghubungan udara melalui insentif bagi laluan baharu dan pengembangan laluan sedia ada.
Usaha ini dilengkapi dengan pelaksanaan Geran Sepadan Penerbangan dan Charter (GSPC) oleh Tourism Malaysia di bawah Belanjawan 2026, yang membolehkan syarikat penerbangan menjalankan aktiviti pemasaran dan promosi di luar negara bagi merangsang kemasukan pelancong melalui penerbangan berjadual dan charter.
Seiring berlangsungnya Tahun Melawat Malaysia 2026, Malaysia Airports terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta pemain industri bagi memastikan operasi lapangan terbang sejajar dengan aspirasi pelancongan negara.
Pendekatan bersepadu ini bertujuan memastikan setiap ketibaan memberikan pengalaman yang lancar dan cekap, sekali gus mencerminkan piawaian global serta hospitaliti unik Malaysia. - DagangNews.com








