Malaysia Airlines tawar perkhidmatan naik taraf tempat duduk penerbangan di Trip.com | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Airlines tawar perkhidmatan naik taraf tempat duduk penerbangan di Trip.com

Gambar/Instagram Malaysia Airlines
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Mac - Malaysia Airlines melancarkan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan perjalanan antarabangsa, Trip.com, membolehkan pelancong menaik taraf tempat duduk penerbangan dengan lebih mudah di platform berkenaan.

 

Kerjasama itu adalah satu langkah penting kerana Trip.com menjadi platform pihak ketiga pertama yang menyepadukan program MHupgrade yang sebelum ini hanya terdapat di laman web Malaysia Airlines. 

 

Ia memudahkan pelancong mengakses dan membida peluang untuk menaik taraf tempat duduk dengan lebih mudah, memberikan fleksibiliti dan kemudahan yang lebih baik, sekali gus meningkatkan pengalaman perjalanan bagi penumpang. 

 

MHupgrade memberi peluang kepada pemegang tiket kelas ekonomi atau kelas perniagaan yang layak untuk membuat tawaran bagi menaik taraf ke kelas kabin seterusnya. 

 

Dengan ciri itu, pengguna yang menempah penerbangan Malaysia Airlines melalui Trip.com kini boleh mengakses dan menikmati pengalaman perjalanan premium dengan lebih mudah dan fleksibel.

 

Ketua Pegawai Komersial Airlines Malaysia Aviation Group, Dersenish Aresandiran berkata, pihaknya amat gembira dapat bekerjasama dengan Trip.com untuk memperluas perkhidmatan MHupgrade. 

 

"Kerjasama strategik ini membolehkan kami menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih baik kepada penumpang, sambil memperluaskan kehadiran kami di pasaran global melalui Trip.com sebagai rakan kongsi yang dipercayai," katanya dalam satu kenyataan.

 

Naib Presiden Kumpulan Trip.com, CT Ooi berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Malaysia Airlines bagi membawa perkhidmatan MHupgrade kepada pelanggan. 

 

"Kerjasama ini sejajar dengan komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman perjalanan dengan menyediakan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada pengguna kami.

 

"Ia juga adalah bukti kepercayaan yang diberikan oleh rakan kongsi kami seperti Malaysia Airlines untuk kebaikan bersama," jelasnya.

 

Perkhidmatan MHupgrade di Trip.com akan mula beroperasi pada pukul 2 petang hari ini, memberikan penumpang proses yang lancar dan mesra pengguna untuk membida naik taraf tempat duduk termasuk bagi pesawat A330neo yang baru diperkenalkan. 

 

Pelanggan boleh menikmati kemudahan mewah dan keselesaan kelas perniagaan Malaysia Airlines dan business suite, seperti keutamaan memasuki pesawat, akses ke lounge eksklusif, pilihan makan mewah dan banyak lagi.

 

Perkhidmatan itu juga diperkenalkan susulan permintaan untuk tempahan penerbangan kabin premium yang semakin meningkat. 

 

Pada 2024, tempahan kelas perniagaan di Trip.com mencatatkan peningkatan tiga angka berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan peningkatan kesediaan pelancong untuk berbelanja lebih bagi keselesaan dan kemewahan tambahan dalam perjalanan mereka. - DagangNews.com