Malayan Flour Mills kembali catat untung bersih sebanyak RM58.1 juta pada FY24 dipacu oleh permintaan tepung kukuh di Vietnam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malayan Flour Mills kembali catat untung bersih sebanyak RM58.1 juta pada FY24 dipacu oleh permintaan tepung kukuh di Vietnam

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Prestasi kewangan Malayan Flour Mills Bhd (MFM) kembali pulih apabila pengeluar makanan ruji itu mencatat untung bersih sebanyak RM58.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) didorong oleh permintaan tepung kukuh di Malaysia dan Vietnam. 

 

Kumpulan itu boleh melaporkan keuntungan bersih yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM100.2 juta jika bukan untuk kerugian rosot nilai RM42.1 juta pada 4Q24 akibat pelaburan kumpulan dalam PT Bungasari Flour Mills. 

 

Katanya, syarikat usaha sama 30% milik MFM yang mengendalikan perniagaan pengilangan tepung di Indonesia itu telah mencatat kerugian selama tiga tahun berturut-turut.

 

"PT Bungasari Flour Mills, mencatat kerugian selepas cukai yang lebih kecil sebanyak RM30 juta pada FY24 berbanding dengan kerugian RM66.5 juta pada tempoh yang sama tahun lepas, disokong oleh volum jualan lebih tinggi dengan margin lebih baik.

 

"Sebaliknya, segmen Integrasi Ayam (PI), yang beroperasi di bawah usaha sama 51% milik Dindings Tyson Sdn Bhd (DTSB), mencatat keputusan yang lebih lemah pada FY24, dengan untung bersih merosot sebanyak 93.9% kepada RM3.1 juta. 

 

"Penurunan ini adalah akibat boikot terhadap rangkaian makanan segera berasaskan Barat berikutan konflik geopolitik Asia Barat, serta pemberhentian subsidi ayam oleh kerajaan Malaysia sejak November 2023," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Segmen perdagangan tepung dan bijian (FGT) di Malaysia dan Vietnam sebaliknya mencatat prestasi kukuh.

 

Bersama-sama dengan perniagaan Aquafeed Kumpulan, MFM mencatat untung bersih sebanyak RM126.7 juta pada FY24,  meningkat 80.5% daripada RM70.2 juta sebelumnya.

 

Bagi 4Q24, kumpulan itu mencatat kerugian bersih sebanyak RM6 juta, sebahagiannya dipengaruhi oleh kemerosotan nilai sekali sahaja sebanyak RM42.1 juta ke atas pelaburan dalam PT Bungasari Flour Mills.

 

Segmen FGT di Malaysia dan Vietnam mencatat hasil yang lebih tinggi pada 4Q24, dengan pendapatan mengecil sehingga RM802.2 juta daripada RM774.3 juta pada tahun sebelumnya. 

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan MFM, Teh Wee Chye berkata, tahun kewangan baharu FY2025 bermula dengan positif, terutamanya untuk perniagaan pengilangan tepung di Malaysia dan Vietnam.

 

"Kami sedang mengembangkan kapasiti pengeluaran 600 metrik tan seharian di kilang kami di Lumut, Perak yang operasinya dijangka akan bermula tidak lama lagi," katanya.- DagangNews.com