Malayan Cement kekal menarik walaupun berdepan tekanan kos bahan mentah - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malayan Cement kekal menarik walaupun berdepan tekanan kos bahan mentah - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 April - RHB Research mengekalkan saranan 'Beli' ke atas Malayan Cement Bhd pada harga sasaran RM9.80 susulan potensi kenaikan sekitar 57% berikutan penilaian semasa yang dilihat menarik walaupun berdepan tekanan kos bahan mentah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun kenaikan harga arang batu menjadi risiko utama, prestasi pendapatan jangka pendek syarikat dijangka kekal stabil, disokong oleh faktor kelewatan impak kos inventori, pendedahan diesel yang rendah serta disiplin harga.

 

“Pada penilaian 9.4 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi tahun kewangan 2027, iaitu kira-kira tiga kali lebih rendah daripada purata sejarah, saham ini dilihat telah mengambil kira tekanan kos semasa dan menawarkan peluang kemasukan menarik,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Harga arang batu Newcastle kini berada sekitar AS$140 setan, meningkat 31% sejak awal tahun, manakala harga di Rotterdam mencecah AS$120 hingga AS$130 setan, dengan purata sekitar AS$123 setan.

 

Memandangkan arang batu menyumbang antara 20% hingga 30% kepada kos keseluruhan, kenaikan harga berpotensi menjejaskan margin, namun impaknya dijangka tertangguh berikutan tahap inventori semasa yang mampu menampung kira-kira dua bulan penggunaan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, penurunan harga minyak mentah sebanyak 15% susulan perkembangan geopolitik di Timur Tengah dijangka memberi kesan positif kepada harga arang batu, berikutan korelasi yang tinggi antara kedua-dua komoditi.

 

RHB menjangkakan harga arang batu boleh susut sekitar 10% hingga 14%, sekali gus membantu meredakan tekanan kos dalam tempoh terdekat.

 

Selain itu, walaupun harga diesel hampir dua kali ganda kepada RM6.02 seliter, kesannya terhadap operasi Malayan Cement adalah terhad kerana kos bahan api hanya menyumbang sekitar 1% hingga 2% daripada jumlah kos keseluruhan.

 

Dari segi harga jualan, harga simen dilaporkan meningkat kepada RM24.40 bagi setiap 50 kilogram, namun Malayan Cement masih belum melaraskan harga jualan purata (ASP).

 

Ini dilihat sebagai strategi memperluas pegangan pasaran dalam keadaan pesaing lebih kecil berdepan tekanan kos.

 

Permintaan terhadap simen pula dijangka kekal kukuh, disokong oleh pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar seperti Transit Aliran Ringan Pulau Pinang, Lebuhraya West Ipoh Span dan projek Mass Rapid Transit 3 yang dijangka bermula sekitar 2027.

 

RHB Research turut mengekalkan unjuran pendapatan syarikat, dengan penilaian semasa dianggap berada pada paras terendah dalam tempoh setahun, sekali gus mencerminkan potensi pemulihan harga saham.

 

Dalam tempoh dua minggu lalu, saham Malayan Cement dilaporkan menyusut ke paras RM6 hingga RM6.15 sebelum kembali stabil, hampir dengan paras sokongan teknikal sekitar RM6.05.

 

Bagaimanapun, antara risiko utama yang perlu diberi perhatian termasuk kenaikan berterusan kos bahan mentah serta kemungkinan kelembapan ekonomi global yang boleh menjejaskan permintaan. - DagangNews.com