KUALA LUMPUR 9 Mac — Malakoff Corporation Bhd (MCB) memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi melanjutkan operasi Loji Janakuasa Prai selama empat tahun lagi bermula 1 April 2026 hingga 31 Mac 2030.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, perjanjian tersebut ditandatangani oleh anak syarikat milik penuhnya, Prai Power Sdn Bhd (PPSB), yang bertanggungjawab mengendalikan loji berkenaan.
Menurut Malakoff, lanjutan baharu itu dibuat susulan rekod operasi kukuh Loji Janakuasa Prai selepas tamatnya perjanjian PPA asal selama 21 tahun pada 19 Jun 2024.
Selepas itu, loji berkenaan turut memperoleh lanjutan PPA jangka pendek selama setahun dengan TNB sehingga 31 Ogos 2025.
“Lanjutan baharu ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap kestabilan operasi serta prestasi Loji Janakuasa Prai,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Di bawah perjanjian tersebut, PPA berkenaan menetapkan hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak termasuk berkaitan penjanaan serta penjualan tenaga elektrik, selain keperluan untuk menyediakan kapasiti penjanaan elektrik daripada Loji Janakuasa Prai kepada TNB.
Malakoff berkata, perjanjian tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta aset bersih syarikat pada masa hadapan.
Dalam masa sama, syarikat itu memaklumkan bahawa tiada pengarah atau pemegang saham utama Malakoff serta pihak yang mempunyai kaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam perjanjian berkenaan. - DagangNews.com








