KUALA LUMPUR 13 Okt - Malakoff Corp Berhad menandatangani perjanjian tempahan dengan Mitsubishi Power Ltd bagi dua set turbin M701JAC dan penjana turbin gas.
Kumpulan itu berkata, peralatan berkenaan akan digunakan untuk loji janakuasa gas berkapasiti 1,400MW baharu yang bakal dibina di wilayah selatan Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, Malakoff berkata, terma komersial terperinci bagi perjanjian bekalan tersebut adalah sensitif dan hanya akan didedahkan selepas perjanjian muktamad dimeterai.
"Pelaksanaan perjanjian tempahan ini membolehkan Malakoff mendapatkan peralatan lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko rantaian bekalan dan penjadualan serta meningkatkan kemungkinan pelaksanaan projek mengikut jadual," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Perjanjian yang ditandatangani Jumaat lalu,memberikan Malakoff hak untuk menempah slot pembuatan dan penghantaran bagi turbin serta peralatan berkaitan sebelum memuktamadkan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek tersebut.
Selain projek di selatan, perjanjian itu turut memberikan Malakoff pilihan untuk menempah dua lagi turbin gas tambahan, yang dirancang untuk projek loji janakuasa gabungan kitaran gas 1,400MW di wilayah utara Semenanjung Malaysia.- DagangNews.com








