KUALA LUMPUR 14 Okt - Malakoff Corporation Berhad mengambil langkah strategik bagi mengukuhkan daya saingnya menjelang penganugerahan projek tenaga baharu (RE) di Malaysia dengan menempah awal peralatan turbin gas utama, kata CGS International.
Katanya, kumpulan itu sebelum ini menandatangani perjanjian tempahan dengan Mitsubishi Power Ltd bagi dua set turbin gas M701JAC yang akan digunakan untuk loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti 1,400MW di wilayah selatan Semenanjung Malaysia.
Perjanjian tersebut memberi keutamaan kepada Malakoff dalam proses pembuatan dan penghantaran peralatan, sekali gus mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan serta kelewatan jadual projek.
Firma penyelidikan itu berkata,langkah awal tersebut membantu Malakoff meminimumkan risiko logistik dan penjadualan selain mengukuhkan kedudukan syarikat bagi mendapatkan projek baharu yang bakal ditawarkan.
“Dengan menempah komponen turbin utama lebih awal, Malakoff memastikan akses kepada peralatan yang semakin sukar diperoleh di pasaran global, serta meningkatkan keupayaan untuk melaksanakan projek baharu tepat pada masanya," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Malakoff meterai perjanjian dengan Mitsubishi Power bagi tempahan turbin loji janakuasa baharu
CGS International berkata, permintaan global terhadap turbin gas bersaiz besar kini berada pada tahap tinggi, dengan slot pembuatan yang terhad dan tempoh penghantaran yang panjang.
Katanya, dalam keadaan ini, strategi tempahan awal memberi kelebihan kompetitif kepada pemaju yang ingin memenuhi keperluan tenaga masa depan negara dengan lebih cekap.
Selain itu, perjanjian tempahan itu turut memberi pilihan kepada Malakoff untuk menempah dua lagi turbin bagi projek CCGT tambahan berkapasiti 1,400MW yang dirancang di wilayah utara, menandakan aspirasi syarikat untuk terus mengembangkan portfolio penjanaan tenaga berasaskan gas di Malaysia.
Firma penyelidikan itu percaya, Malakoff berada pada kedudukan yang kukuh untuk memperoleh projek baharu berasaskan gas, memandangkan syarikat telah memperkukuh kedudukan pasaran melalui tempahan awal turbin gas dan penyertaan dalam beberapa tender CCGT yang sedang dijalankan.
Dalam unjuran asasnya, hanya satu projek CCGT baharu secara usaha sama dengan kapasiti efektif 910MW telah dimasukkan ke dalam penilaian harga sasaran, namun sumbangan daripada projek RE yang baharu dimenangi — termasuk projek solar 570MW LSS5+ dan projek solar di Sarawak — masih belum diambil kira dalam unjuran semasa.
"Kami mengekalkan saranan "tambah" dengan harga sasaran (TP) RM1.20 sesaham," katanya. - DagangNews.com








