KUALA LUMPUR 11 April - Majikan kini dibenarkan untuk menggunakan sebahagian daripada kutipan levi bagi tujuan pengambilan graduan baharu untuk platform latihan sebagai langkah mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu bertujuan memberi ruang kepada graduan baharu untuk menimba pengalaman bekerja sekali gus memudahkan golongan tersebut memperoleh pekerjaan selepas menerima latihan.
"Antara masalah yang sering dihadapi oleh pekerja atau pencari kerja ialah mereka berkata, 'Saya tidak dapat pekerjaan kerana tiada pengalaman. Tetapi jika anda tidak memberikan saya pekerjaan, saya tidak akan memperoleh pengalaman,'" katanya.
"Oleh itu, kami melihat pengambilan graduan baharu sebagai satu bentuk latihan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya di Wisma Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid; Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood dan Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun.
Steven berkata, melalui inisiatif itu, syarikat juga diberi insentif untuk memperluas operasi dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.
Dalam usaha mengatasi masalah ini, kerajaan melalui HRD Corp telah merangka pelbagai inisiatif, termasuk menyediakan latihan dan peluang pekerjaan bagi meningkatkan kebolehpasaran belia.
Sebelum ini, media melaporkan HRD Corp berjaya mengumpul kutipan levi sebanyak RM2.3 bilion pada tahun lepas, menunjukkan peningkatan berbanding RM2.1 bilion pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com








