MAIWP lantik Censof bangunkan sistem kewangan Islam digital AI bernilai RM17.8 juta selama lima tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAIWP lantik Censof bangunkan sistem kewangan Islam digital AI bernilai RM17.8 juta selama lima tahun

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Mei – Censof Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Century Software (Malaysia) Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM17.8 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membangunkan sistem pengurusan kewangan Islam bersepadu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Censof berkata, kontrak tersebut melibatkan pembangunan Sistem Bersepadu MAIWP berasaskan pematuhan kepada Sistem Perakaunan Standard bagi Agensi Kerajaan (SAGA) serta Piawaian Perakaunan Islam bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW).

 

“Tempoh kontrak itu adalah selama lima tahun bermula 1 Jun 2026 sehingga 31 Mei 2031.

 

“Inisiatif itu bertujuan memperkukuh tadbir urus, meningkatkan ketelusan dan menambah baik kecekapan operasi dalam pengurusan baitulmal selaras dengan piawaian perakaunan kerajaan Malaysia serta piawaian perakaunan Islam,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Hasil Kumpulan Censof, Dr Zainul Ariffin Harun berkata, projek itu merangkumi pemodenan sistem pengurusan kewangan sedia ada MAIWP termasuk sistem perakaunan yang mematuhi SAGA dan PPIBZW.

 

Beliau berkata, skop projek turut melibatkan pembangunan sistem pengurusan hartanah, pengurusan aset dan pengurusan projek bagi memperkukuh operasi kewangan institusi berkenaan.

 

Kecerdasan Buatan

Menurutnya, projek tersebut juga akan mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi dalam beberapa fungsi utama sistem kewangan.

 

“Antara ciri yang akan dilaksanakan termasuk Pendamaian Bank AI (AI Bank Reconciliation), Penyata Kewangan Automatik, Chatbot Kewangan AI dan Studio Model Bahasa Raya AI,” katanya.

 

Tambah beliau, penggunaan teknologi berasaskan AI itu dijangka membantu meningkatkan kecekapan operasi selain mempercepat proses penyediaan laporan kewangan dan pengurusan data.

 

Censof berkata, penganugerahan kontrak berkenaan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian teknologi kewangan dan perakaunan khusus untuk sektor kerajaan serta institusi kewangan Islam di Malaysia.

 

Ditubuhkan pada 2008, Censof menyediakan pelbagai perisian pengurusan kewangan dan penyelesaian digital kepada pelanggan sektor awam dan swasta di rantau Asia Pasifik. - DagangNews.com