Mahkamah tolak permohonan Mahmud Abu Bekir gugurkan saman ERP Cahya Mata, kes diteruskan ke perbicaraan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah tolak permohonan Mahmud Abu Bekir gugurkan saman ERP Cahya Mata, kes diteruskan ke perbicaraan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Mac - Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) berjaya mengekalkan tindakan undang-undang terhadap timbalan pengerusinya, Mahmud Abu Bekir Taib, serta lima pihak lain selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk menggugurkan saman berkaitan kegagalan sistem perancangan sumber perusahaan (ERP).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata permohonan untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Abu Bekir bersama bekas ketua pegawai maklumat CMSB, Karl Vink, pengarah urusan Vienna Advantage GmbH (VAG) Atul Dua, bekas pengurus besar kanan Cahya Mata Intelligent Technologies Sdn Bhd (CMIT) Izzul Abdul Kamar, serta VAG dan Vienna Advantage Asia Sdn Bhd telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada Rabu.

 

 

 

 

 

 

 

“Semua pihak akan meneruskan ke perbicaraan dengan saksi-saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan,” kata CMSB.

 

Tindakan undang-undang itu dimulakan oleh CMSB bersama unitnya, CMIT, kira-kira setahun lalu terhadap enam defendan berhubung dakwaan pelanggaran amanah dan tanggungjawab fidusiari berkaitan kegagalan pelaksanaan sistem ERP yang merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi digital kumpulan.

 

Projek ERP tersebut, yang bertujuan menyatukan pelbagai sistem teknologi maklumat CMSB ke dalam satu platform bersepadu, telah dianugerahkan kepada VAG pada Julai 2019. Namun, projek itu ditamatkan pada Mac 2021 sebelum dimulakan semula pada Mei 2023.

 

CMIT kemudiannya memulakan proses timbang tara pada Januari 2025 susulan pertikaian yang didakwa berpunca daripada kegagalan VAG untuk membekal dan melaksanakan sistem ERP berkenaan.

 

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan Abu Bekir dan Vink masing-masing memiliki pegangan berasingan sebanyak 30% dalam Vienna Advantage Asia, manakala baki pegangan dimiliki oleh VAG.

 

 

 

 

 

 

Sebelum ini, kedua-dua individu berkenaan turut menjalani semakan bebas oleh CMSB pada 2021 berhubung dakwaan salah urus kewangan berkaitan pelaburan dan operasi syarikat, namun hasil semakan tersebut mendapati dakwaan berkenaan tidak berasas. - DagangNews.com