Mahkamah Tinggi tolak permohonan lelaki batalkan pertuduhan tipu saham Multi-Code | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Tinggi tolak permohonan lelaki batalkan pertuduhan tipu saham Multi-Code

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 18 Okt - Mahkamah Tinggi menolak permohonan oleh Wong Jit Kiang, juga dikenali sebagai Daniel Wong, untuk membatalkan pertuduhan bersubahat dengan bekas pengarah urusan Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd, menipu syarikat itu melibatkan RM17.6 juta pada tahun 2007.

 

Hakim Muniandy Kannyappan memutuskan pertuduhan terhadap Wong adalah sah dan tidak cacat, sekali gus membuka laluan untuk kes tersebut diteruskan ke perbicaraan, menurut kenyataan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Jumaat.

 

Keputusan itu menandakan satu pencapaian penting dalam siasatan panjang oleh SC yang telah memburu Wong selama lebih 15 tahun.

 

Wong telah didakwa di bawah Akta Industri Sekuriti (SIA) 1983 pada Mei 2024 kerana bersubahat dengan mendiang Gordon Toh Chun Toh — ketika itu pengarah urusan Multi-Code — menggunakan dana syarikat bagi membiayai pembelian lebih 11 juta saham Multi-Code melalui Ace Prelude Sdn Bhd antara 26 hingga 28 Mac 2007.

 

Pertuduhan tersebut dibuat di bawah Seksyen 122C(c) SIA (yang memperuntukkan mana-mana individu yang bersubahat dalam pelakuan sesuatu kesalahan di bawah akta itu boleh dihukum seolah-olah mereka melakukan kesalahan tersebut sendiri) dan Seksyen 87A(b) (yang memperuntukkan kesalahan perbuatan menipu berkaitan urus niaga sekuriti — seperti pengarah yang menyalahgunakan dana syarikat untuk memanipulasi harga saham).

 

Jika disabit kesalahan, Wong boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM1 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun.

 

SC memaklumkan, Wong telah mengelak daripada pihak berkuasa selama 15 tahun sebelum ditangkap pada Mei 2024, walaupun pelbagai usaha telah dibuat oleh pengawal selia untuk mengesannya. Mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya pada tahun 2009 dan sekali lagi pada 2019.

 

Dalam permohonannya untuk membatalkan pertuduhan, Wong berhujah bahawa pertuduhan itu tidak sah kerana Toh — pesalah utama yang didakwa — tidak pernah disabitkan di bawah Seksyen 87A(b) SIA.

 

Sebaliknya, Toh disabitkan pada tahun 2010 di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah jenayah, satu kesalahan berasingan yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan/atau denda. Toh meninggal dunia pada Ogos 2012 semasa rayuannya masih berjalan.

 

Bagaimanapun, SC berhujah, ketiadaan sabitan terhadap Toh di bawah SIA tidak menjejaskan kesahihan pertuduhan bersubahat terhadap Wong. SC menegaskan kesalahan bersubahat merupakan satu kesalahan yang berasingan dan boleh berdiri sendiri tanpa sabitan terhadap pesalah utama.

 

Mahkamah Tinggi bersetuju dengan hujah SC, menyatakan bukan menjadi peranan mahkamah untuk mempertikaikan pertuduhan pada peringkat ini dan ia akan menjadi pramatang untuk mengetepikannya. Hakim Muniandy memerintahkan agar perbicaraan diteruskan di Mahkamah Sesyen seperti dijadualkan.

 

Harga saham Multi-Code pernah mencecah paras tertinggi RM1.78 pada 23 April 2007 sebelum menjunam ke paras terendah 21 sen pada 29 Mei 2009 — penurunan sebanyak 88%.

 

Syarikat itu kemudiannya distruktur semula dan dinamakan semula sebagai MCE Holdings Berhad pada Jun 2016 melalui satu skim pengaturan. - DagangNews.com