KUALA LUMPUR 24 Jun - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan sebidang tanah seluas 9,723 meter persegi di ibu negara, di mana terletaknya Hotel Seri Pacific dipindah milik kepada UMNO dalam tempoh 30 hari.
Hakim Roz Mawar Rozain mengeluarkan perintah itu selepas peguam UMNO, Hafarizam Harun memaklumkan kepada mahkamah yang parti itu dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTG) telah mencapai penyelesaian, lapor Berita Harian.
Dalam penghakiman persetujuannya, Roz Mawar berkata tanah tersebut, yang didaftarkan atas nama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam dan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid sebagai pemegang amanah untuk UMNO.
“Pemilikan hartanah yang didaftarkan atas nama pemegang amanah itu hendaklah diserahkan dan didaftarkan atas nama UMNO dengan segala hak, kepentingan, dan pemilikan selaras dengan Seksyen 9(b) Akta Pertubuhan 1966.
“Pendaftar Hakmilik atau Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan hendaklah melaksanakan peruntukan perenggan (2) Akta Pertubuhan menurut Seksyen 420 Kanun Tanah Negara 1965 dan mengambil segala langkah yang perlu untuk melaksanakan dan mendaftarkan pemilikan harta itu dalam tempoh 30 hari,” katanya seperti yang dilaporkan.
Hafarizam ketika ditemui pemberita berkata, keputusan mahkamah itu telah menyelesaikan semua isu, termasuk keengganan beberapa pemegang amanah sebelum ini untuk menandatangani pemindahan hak milik.
“Mahkamah telah memberikan perintah berdasarkan permohonan kami dan dengan persetujuan PTG, yang diwakili oleh seorang Peguam Persekutuan Kanan, untuk memindahkan pemilikan daripada keempat-empat pemegang amanah kepada UMNO,” katanya.
Mahkamah memberi tempoh 30 hari kepada PTG untuk melaksanakan dan mendaftarkan pemindahan tersebut.
Setiausaha Eksekutif UMNO, Datuk Sumali Reduan pada 6 Mac lalu telah memfailkan saman pemula melalui firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.
Dalam permohonan itu, Sumali telah memohon suatu pengisytiharan hartanah dengan geran No 78154 di Lot 40, Seksyen 51, Kuala Lumpur, didaftarkan secara amanah atas nama Daim, Musa, Mahathir dan Sanusi. - DagangNews.com








