Mahkamah Singapura keluarkan perintah sita pegangan Capital A dalam BigPay, Teleport | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Singapura keluarkan perintah sita pegangan Capital A dalam BigPay, Teleport

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Jun – Mahkamah Tinggi Singapura mengeluarkan perintah untuk menyita pegangan saham milik Capital A dalam BigPay dan Teleport Everywhere susulan tindakan penguatkuasaan timbang tara  melibatkan pengasas bersama BigPay.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Capital A berkata tindakan itu adalah sebahagian usaha mahkamah tersebut untuk menguatkuasakan keputusan yang timbul daripada pertikaian pemegang saham melibatkan BigPay.

 

Anak syarikat milik penuhnya, Move Digital Sdn Bhd dikehendaki membeli pegangan minoriti pengasas bersama BigPay yang melibatkan bayaran sebanyak AS$14.736 juta (RM59.85 juta) kepada Christopher Davison dan Navin Rajagopalan.

 

Menurut Capital A, tindakan penguatkuasaan itu turut berkaitan pemulihan faedah tertunggak yang terkumpul daripada beberapa perintah kos dalam prosiding penguatkuasaan di Singapura.

 

Di bawah notis tersebut, aset milik Move Digital akan disita yang terdiri daripada 204.81 juta saham mewakili 99.56% pegangan dalam BigPay serta 481,730 saham atau 11.45% kepentingan dalam Teleport Everywhere.

 

Teleport Everywhere merupakan cabang logistik Capital A dan penyumbang hasil terbesar kumpulan itu ketika ini.

 

Timbang Tara pada 2021

Pertikaian tersebut bermula pada 2021 apabila Christopher Davison dan Navin Rajagopalan memulakan proses timbang tara mengikut peraturan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura terhadap AirAsia Digital yang kini dikenali sebagai Move Digital, AirAsia Berhad dan BigPay.

 

Tindakan itu diambil selepas AirAsia Digital menamatkan perjanjian pemegang saham dan pelaburan yang dimeterai pada 2017 berkaitan pelaburannya dalam BigPay.

 

Kedua-dua pemegang saham minoriti tersebut mendakwa berlaku pelanggaran perjanjian pelaburan dan pemegang saham, penamatan secara salah serta penindasan pemegang saham minoriti mengikut undang-undang Singapura.

 

Mereka sebelum ini menuntut perintah mahkamah supaya AirAsia Digital membeli semula saham mereka pada nilai antara AS$140 juta hingga AS$183 juta, bersamaan kira-kira RM624 juta hingga RM816 juta.

 

Bagaimanapun, tribunal timbang tara pada Disember 2024 hanya memerintahkan AirAsia Digital membeli semula saham berkenaan pada nilai AS$14.736 juta, jauh lebih rendah daripada tuntutan asal.

 

Bantahan Bertulis

Capital A berkata, Move Digital bercadang mengemukakan bantahan bertulis terhadap tindakan penguatkuasaan tersebut kerana percaya mempunyai asas yang sah untuk mencabar proses penyitaan berkenaan.

 

Pada 18 Mei lalu, Capital A mengumumkan syarikat itu telah mendahulukan sejumlah RM24.13 juta kepada BigPay menerusi Move Digital bagi menyokong operasi dan urusan kewangan syarikat berkenaan.

 

Teleport menyumbang kira-kira 40% atau RM308.65 juta kepada hasil kumpulan sebanyak RM766.59 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026. - DagangNews.com