Banyak syarikat didagangkan bawah nilai, MBSB Research yakin 'MY Value Up' rapatkan jurang penilaian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Banyak syarikat didagangkan bawah nilai, MBSB Research yakin 'MY Value Up' rapatkan jurang penilaian

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 Jun – Walaupun banyak syarikat tersenarai awam (PLC) mencatat keuntungan kukuh, sebahagian besar masih diperdagangkan pada penilaian rendah berbanding rakan setara serantau.

 

Menurut MBSB Research, perkembangan tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai jurang pengiktirafan nilai dalam pasaran tempatan, di sebalik mereka memiliki kedudukan kewangan sihat.


Justeru, firma penyelidikan tersebut menyifatkan usaha Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia melancarkan Panduan Program MY Value Up, dapat menangani isu jurang penilaian berlarutan.


"Rangka kerja sukarela ini dijangka membantu PLC menjelaskan strategi penciptaan nilai jangka panjang dengan mempunyai asas perniagaan yang kukuh secara lebih berkesan kepada pelabur," katanya.


Ujar MBSB Research, pelabur bukan sahaja menilai prestasi kewangan, malahan memberi perhatian isu kejelasan strategi, tadbir urus korporat, disiplin pengurusan modal dan keupayaan pelaksanaan.


MY Value Up tambahnya, dilihat menggalakkan PLC untuk menjelaskan pelan pertumbuhan mereka dengan lebih telus supaya pelabur dapat membuat penilaian yang tepat terhadap prospek masa depan syarikat.


Panduan ini dibina berasaskan prinsip antaranya penyertaan sukarela, pendedahan berpandangan ke hadapan, akauntabiliti lembaga pengarah dan pendekatan bersesuaian mengikut saiz serta kematangan.


"Kami berpandangan dokumen ini bersifat panduan strategik berbanding keperluan pematuhan, dengan fokus keyakinan pelabur dan daya saing pasaran modal dalam jangka panjang," kata MBSB Research.

 

My Value Up
Foto kredit Invest Malaysia


Artikel berkaitan: KWSP, PNB dan KWAP salur modal sokong transformasi syarikat tersenarai menerusi inisiatif 'MY Value Up'

 

Bagaimanapun, ia menjangka impak segera program berkenaan adalah terhad memandangkan pelan awam syarikat hanya mula didedahkan pada 2027, selain sentimen pasaran masih dipengaruhi faktor luaran.


Kesan awal berpotensi berlaku apabila pelabur mula membezakan syarikat dengan ada pelan penciptaan nilai secara jelas dan boleh dipercayai berbanding PLC yang masih lagi gagal berbuat demikian.


Dalam jangka sederhana jelas MBSB Research, syarikat bermodal besar bergerak awal menghubungkan strategi dengan pulangan ekuiti (ROE), pulangan modal dilabur (ROIC), dan pulangan pemegang saham.


"Kami menjangka sektor kewangan, telekomunikasi dan syarikat besar menjadi penerima manfaat awal, sejajar pengalaman Korea Selatan dan Taiwan yang sudah melaksanakan inisiatif serupa," katanya.


Pada masa sama, firma itu menegaskan asas korporat Malaysia masih kekal kukuh apabila pendapatan terlaras agregat PLC meningkat 10.5% tahun ke tahun (YoY) pada musim keputusan suku pertama 2026.


Bagi strategi pelaburan semasa, MBSB Research mengekalkan tumpuan kepada saham berorientasikan permintaan domestik, serta saham kitaran yang berpotensi pulih jika risiko geopolitik mula reda.


Antara pilihan utamanya ialah YTL Power International Berhad, Ranhill Utilities Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB), QL Resources Berhad, AMMB Holdings Berhad dan Leong Hup International Berhad.


"Turut perlu diberikan perhatian ialah MR DIY Group (M) Berhad, 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad dan Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT)," katanya. - DagangNews.com