KUALA LUMPUR 10 Jun – Kos pengangkutan, arang batu dan keluli yang semakin mahal mula menimbulkan kebimbangan serius terhadap margin keuntungan syarikat pembinaan, kata MBSB Research.
Bagaimanapun ujarnya, permintaan kukuh daripada projek pusat data (DC) bernilai sehingga RM14 bilion dijangka terus menjadi pemangkin utama pertumbuhan sektor itu sepanjang separuh kedua 2026.
Justeru firma itu mengekalkan penarafan 'positif' berikutan ketahanan pendapatan syarikat, aliran kontrak baharu yang sihat serta pelaksanaan projek infrastruktur awam yang dijangka dipercepatkan.
"Meskipun keputusan kewangan suku pertama 2026 adalah bercampur-campur, prestasi asas kekal kukuh disokong kemajuan kerja, pengisian semula buku tempahan dan margin projek DC," jelas MBSB Research.
Menurutnya, aktiviti pembinaan terus berkembang dengan nilai kerja naik 8.5% kepada RM46.5 bilion pada suku pertama 2026, manakala projek RM84.4 bilion dicatatkan dalam tempoh lima bulan pertama.
Tambahnya, DC kekal sebagai pemacu pertumbuhan struktur sektor pembinaan, susulan pengembangan syarikat global, peningkatan pelaburan prasarana digital dan keperluan tenaga yang semakin tinggi.
MBSB Research menjangkakan kontrak pembinaan DC utama bernilai RM14 bilion pada separuh kedua tahun ini, sekali gus menjadi sumber utama pertumbuhan buku tempahan dan pendapatan kontraktor.

Margin Bersih Kontraktor Akan Terhakis
"Pada masa sama, kami memberi perhatian terhadap peningkatan kos bahan binaan apabila harga purata besi tetulang naik 5% pada April 2026, manakala kos perolehan arang batu melonjak tinggi," katanya.
Kenaikan kos bahan binaan sebanyak 35% akan menghakis margin bersih kontraktor hingga lima mata peratusan jika sebahagian kontrak sedia ada tidak dapat memindahkan kos tambahan kepada pelanggan.
Impak tersebut ujar MBSB Research, namun dijangka kekal terkawal bagi kontraktor berskala besar dengan mempunyai perlindungan kontrak lebih kukuh serta campuran projek yang lebih menguntungkan.
Sehubungan itu, ia menjangka pendapatan sektor bertambah baik pada separuh kedua 2026 apabila pelaksanaan projek dipercepatkan termasuk projek infrastruktur awam utama kerajaan Persekutuan.
"Kami menaik taraf saranan terhadap Sunway Construction Group Berhad kepada 'beli', selain mengekalkan Gamuda Berhad dan Malayan Cement Berhad sebagai pilihan utama sektor pembinaan," tambahnya.
Selain itu, permintaan DC yang kekal kukuh, pertumbuhan sektor swasta serta pelaksanaan projek awam berskala besar akan terus mengukuhkan keterlihatan pendapatan sepanjang 2026. - DagangNews.com








