Dana Usaha Ekonomi Baharu Sime Darby Property mampu jana modal sehingga RM4.25 bilion - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dana Usaha Ekonomi Baharu Sime Darby Property mampu jana modal sehingga RM4.25 bilion - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Jun - Dana Usaha Ekonomi Baharu (NEVF) yang dilancarkan Sime Darby Property Bhd berpotensi berkembang kepada saiz keseluruhan kira-kira RM4.25 bilion selepas mengambil kira kemudahan pembiayaan hutang, kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ini sekali gus membuka ruang kepada syarikat untuk mempercepatkan pembangunan aset perindustrian, logistik dan pusat data (DC) pada masa hadapan.

 

Katanya, walaupun NEVF mempunyai saiz dana awal sebanyak RM1.25 bilion yang berfungsi sebagai komponen ekuiti pelaburan aset, struktur modal dana itu membolehkannya meningkatkan kapasiti pelaburan melalui penggunaan leveraj.

 

"Berdasarkan nisbah hutang kepada ekuiti sebanyak 70:30, dana berkenaan berpotensi memperoleh pembiayaan hutang antara RM2.9 bilion hingga RM3 bilion, menjadikan jumlah modal yang boleh digunakan mencecah sekitar RM4.25 bilion.

 

"Perkembangan itu dijangka membolehkan NEVF menyerap lebih banyak aset perindustrian yang dibangunkan Sime Darby Property pada masa hadapan, sejajar strategi syarikat untuk memperkukuh portfolio aset berpendapatan berulang," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Artikel berkaitan: Sime Darby Property lancar dana patuh syariah bernilai RM1.25 bilion bagi pembangunan pusat data, logistik

 

RHB Research berkata, kapasiti pelaburan yang lebih besar turut memberi fleksibiliti kepada Sime Darby Property untuk mempercepatkan pembangunan projek pusat data, gudang logistik dan kemudahan industri bina-untuk-disewa tanpa perlu menanggung keseluruhan kos pembangunan menerusi kunci kira-kiranya sendiri.

 

Malah, dana tersebut dijangka mampu menjana kadar pulangan dalaman (IRR)** antara 10% hingga 15%, sekali gus menawarkan pulangan yang menarik kepada pelabur institusi yang mengambil bahagian dalam NEVF.

 

Dalam masa sama, impak kewangan dana itu terhadap pendapatan Sime Darby Property dalam jangka pendek dijangka terhad kerana sumbangan utama akan datang daripada keuntungan pelupusan tanah yang disuntik ke dalam dana berkenaan.

 

RHB Research menjangkakan syarikat akan merekodkan keuntungan sekali sahaja daripada transaksi pelupusan tanah atau aset berkaitan kepada NEVF, yang berpotensi menyokong prestasi kewangan semasa.

 

Bagaimanapun, pendapatan berasaskan fi yang diterima daripada pengurusan dana sepanjang tempoh hayat NEVF dijangka tidak memberi sumbangan material kepada keuntungan kumpulan dalam tempoh terdekat.

 

Sehubungan itu RHB Research mengekalkan saranan "BELI" terhadap saham SDPR dengan harga sasaran (TP) RM2.15, menawarkan potensi kenaikan sebanyak 51% daripada paras semasa, selain jangkaan hasil dividen sekitar 3% bagi tahun kewangan 2026 (FY26F).

 

Firma itu turut berpandangan bahawa tempoh hayat dana selama lima tahun memberi ruang kepada SDPR untuk membangunkan dan mematangkan aset-aset tersebut sebelum merealisasikan nilai yang lebih tinggi pada masa hadapan.

 

Selain itu, aset yang dibangunkan di bawah dana berkenaan berpotensi disuntik ke dalam amanah pelaburan hartanah (REIT) yang dijangka ditubuhkan kelak, sekali gus membuka peluang kepada syarikat untuk menjana pulangan yang lebih besar apabila dana tersebut mencapai tempoh matang.

 

Langkah itu juga dilihat mampu mempercepatkan strategi monetisasi aset kumpulan, khususnya dalam segmen pusat data dan hartanah industri yang kini menjadi antara sektor paling pesat berkembang susulan peningkatan pelaburan digital dan permintaan terhadap infrastruktur teknologi. - DagangNews.com