Dana asing RM3.7 bilion keluar Bursa Malaysia pada Mei 2026, FBM KLCI catat kejatuhan bulanan terburuk sejak Mac 2025 — CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dana asing RM3.7 bilion keluar Bursa Malaysia pada Mei 2026, FBM KLCI catat kejatuhan bulanan terburuk sejak Mac 2025 — CGSI

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 JunBursa Malaysia berdepan tekanan jualan asing yang ketara apabila pelabur luar mengeluarkan dana bersih sebanyak RM3.7 bilion pada Mei 2026, menurut CGS International (CGSI).

 

Perkembangan negatif tersebut ujar firma itu, menyebabkan indeks FBM KLCI mencatat kejatuhan bulanan yang terbesar sejak Mac 2025 walaupun kebanyakan pasaran serantau pula menikmati kenaikan kukuh.


Katanya, indeks penanda aras itu susut 2.3% kepada 1,683 mata pada Mei 2026, berbeza prestasi positif indeks MSCI All Country Asia ex-Japan naik 11% dan MSCI Emerging Markets yang meningkat 9.5%.


"Aliran keluar dana asing dipengaruhi aktiviti pengimbangan semula indeks MSCI, dengan tekanan jualan memuncak pada 29 Mei 2026 apabila aliran jualan harian melebihi RM1.6 billion," jelas CGSI.


Pelabur asing tambah firma tersebut, kembali menjadi penjual bersih sepanjang Mei 2026 dengan melupuskan RM3.7 bilion, sekali gus menjadi aliran keluar bulanan paling besar sejak Mac 2025.


Susulan itu, pegangan pelabur asing dalam pasaran Malaysia merosot kepada 18.6% berbanding 19.0% pada April 2026, manakala jumlah aliran keluar asing terkumpul tahun ini naik kepada RM27.4 bilion.


Tekanan jualan asing kata CGSI, namn berjaya diimbangi pelabur institusi tempatan yang mencatat aliran masuk bersih RM3.1 bilion, selain pelabur runcit membeli RM597 juta sepanjang bulan itu.


 

Bursa Malaysia_DagangNews2026

 

Momentum Berterusan Tema Kecerdasan Buatan

"Dari sudut sektor, teknologi muncul sebagai peneraju pasaran ekuiti dengan lonjakan 19% pada Mei, menjadikan kenaikan sektor itu kepada 39.2% bagi tempoh lima bulan pertama 2026," ujarnya lagi. 


Situasi itu didorong momentum berterusan tema kecerdasan buatan (AI) dan memori semikonduktor global, selain sektor utiliti dan penjagaan kesihatan yang turut mencatatkan prestasi positif.


Kedua-duanya tambah CGSI, menyaksikan kenaikan masing-masing 2.8% dan 2.2%, tetapi sektor tenaga merekodkan prestasi lemah dengan penurunan 7.4%, diikuti pengguna (-5.9%) dan perladangan (-4.9%).


Dalam kalangan saham komponen FBM KLCI, YTL Power International Berhad muncul sebagai prestasi terbaik dengan kenaikan 8.9%, diikuti Maxis Berhad (+6.3%) dan AMMB Holdings Berhad (+5.4%).


"Sementara itu, Nestlé (Malaysia) Berhad, Axiata Group Berhad dan PPB Group Berhad menjadi antara kaunter yang paling tertekan selepas masing-masing merosot 16.1%, 14.9% dan 14.1%," jelasnya.


Secara keseluruhan, CGSI berkata, prestasi kukuh sektor teknologi di peringkat global menunjukkan tema AI dan rantaian bekalan memori masih menjadi pemacu utama pasaran tempatan. - DagangNews.com