MAHB bangunkan loji rawatan air teknologi terkini di KLIA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB bangunkan loji rawatan air teknologi terkini di KLIA

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Mac — Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengorak satu lagi langkah ke arah operasi lapangan terbang mampan dengan membangunkan kemudahan rawatan air berteknologi terkini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
 

Menerusi satu kenyataan, ia berkata, kemudahan itu dibangunkan sebagai sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Alam Sekitar, malah inisiatif ini menyerlahkan dedikasinya terhadap pengurusan bertanggungjawab, pencegahan banjir dan pemuliharaan ekologi.
 

"Loji rawatan air KLIA mempunyai sistem yang mampu mengurangkan penggunaan tanah sebanyak 50 peratus berbanding reka bentuk tradisional dan dilengkapi juga dengan teknologi penulenan termaju bertaraf antarabangsa," katanya.
 

Premis berkenaan tambahnya, dapat memproses air mentah sehingga 10 juta liter sehari (MLD), yang seterusnya memastikan keseluruhan KLIA memiliki sumber air lebih mesra alam untuk menyokong operasi hariannya tanpa bimbang dengan isu gangguan bekalan.
 

Projek ini ujar MAHB, dipacu oleh sistem air hujan kitar semula yang diperoleh daripada Inisiatif Kawasan Tadahan KLIA, meliputi kawasan berkeluasan 200 ekar (kira-kira 80.93 hektar) dengan kedalaman 1.5 meter dan jumlah kapasiti maksimum 3,000 liter.
 

Sistem pengumpulan air itu adalah dwifungsi, iaitu membekalkan kemudahan rawatan dan berperanan sebagai langkah tebatan banjir. Kesannya melangkaui KLIA, yang memberikan manfaat utama kepada komuniti berhampiran dan kawasan Kolam Pengimbang Selatan.
 

"Melalui pengurusan sumber yang cekap, MAHB mampu mengurangkan penggunaan tenaga yang berkaitan dengan pengagihan dan menggalakkan kemampanan terbaik secara jangka panjang daripada kemudahan rawatan air tersebut," kata kenyataan berkenaan.
 

Loji canggih tersebut turut mengukuhkan lagi kepimpinan alam sekitar KLIA menerusi Akreditasi Karbon Lapangan Terbang (ACA) di bawah program Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) dengan memegang status Pengoptimuman Tahap 3.
 

KLIA adalah sebahagian daripada rangkaian terminal udara global meliputi lebih 600 buah lapangan terbang dari seluruh dunia yang menuju ke arah pelepasan karbon 'bersih-sifar' melalui rangka kerja pengurusan karbon tujuh peringkat terstruktur ACI.
 

Kemudahan terbaharu ini jelasnya, memperkukuhkan komitmen lapangan terbang berkenaan terhadap aspek kemampanan, selain menyokong usaha dilakukan MAHB sendiri untuk meningkatkan pengurusan dan daya tahan alam sekitar. - DagangNews.com