KUALA LUMPUR 14 Jan - Mah Sing Group Bhd yakin, cadangan sekatan baharu terhadap eksport cip kecerdasan buatan (AI) oleh Amerika Syarikat (AS) tidak akan menghalang kerjasama dengan Bridge Data Centres (BDC) atau pertumbuhan sektor kemudahan digital Malaysia secara keseluruhan.
Sebagai respons terhadap laporan mengenai cadangan sekatan eksport cip AI oleh AS, Mah Sing menekankan bahawa butiran mengenai langkah-langkah itu masih dalam semakan.
"Untuk menghadapi cabaran yang timbul akibat sekatan eksport cip AI ini, syarikat-syarikat di negara yang dikategorikan sebagai Tier 2 termasuk Malaysia, berpeluang mendapatkan pengecualian daripada kuota yang dikenakan.
"Mereka boleh memperoleh status pengguna akhir yang disahkan (VEU) dengan memenuhi piawaian keselamatan, ketahanan siber dan hak asasi manusia yang ditetapkan oleh AS," kata Mah Sing dalam satu kenyataan.
Jelas pemaju itu, dengan mematuhi piawaian berkenaan, syarikat-syarikat terlibat akan terus dapat mengakses teknologi penting tanpa gangguan, malah akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam kalangan pemimpin teknologi global.
Mah Sing dalam pada itu menambah, pihaknya akan terus memantau perkembangan terkini untuk memastikan pematuhan sepenuhnya dan mengurangkan risiko yang berpotensi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, baru-baru ini dilaporkan berkata, sebanyak 85 peratus negara berada di bawah kategori Tier 2, yang dikenakan sekatan tidak terlalu longgar mahupun terlalu ketat.
Di bawah sekatan baharu itu, syarikat yang berpangkalan di AS boleh memohon kebenaran umum untuk menghantar cip ke pusat data di seluruh dunia, dengan syarat tidak lebih daripada 25 peratus kuasa pengkomputeran keseluruhan mereka berada di luar negara-negara Tier 1 dan tidak lebih daripada 7.0 peratus di mana-mana negara Tier 2.
Rakan kongsi Mah Sing, BDC, dimiliki terutamanya oleh Bain Capital, sebuah firma yang berpusat di AS.
Sementara itu, kumpulan itu berkata, kedua-dua pihak telah menubuhkan dua usaha sama untuk mengembangkan pusat data mereka di Mah Sing DCHub@Southville City dengan kapasiti kuasa 300 megawatt (MW).
Ia berkata, fasa pertama dijangka memulakan operasi pada 2026, dengan keseluruhan hab itu berpotensi menyokong kapasiti kuasa sebanyak 500MW.
Selain itu, tanah seluas 17 hektar milik Mah Sing di bandar Meridin East, Johor Bahru, berada dalam kedudukan strategik untuk pembangunan masa depan, dengan kapasiti tambahan sebanyak 300MW.
"Sektor teknologi Malaysia secara konsisten telah menunjukkan daya tahan dan kreativiti.
"Melalui kerjasama kukuh antara pemain industri, kami percaya Malaysia akan mengharungi cabaran ini dengan jayanya, memacu pertumbuhan dan inovasi yang berterusan dalam ekonomi digital global," ujarnya. - DagangNews.com








