KUALA LUMPUR 4 Julai – Mah Sing Group Bhd sekali lagi tersenarai dalam Fortune Southeast Asia 500 bagi tahun kewangan 2024, mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat berpendapatan tertinggi di rantau ini.
Ini merupakan tahun kedua berturut-turut pemaju hartanah tempatan itu menerima pengiktirafan tersebut, membuktikan daya tahan dan impak berterusan hasil pertumbuhan mampan, kecekapan operasi dan pelaksanaan projek berfokus pelanggan.
Pengasas merangkap Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, sebagai pemaju tempatan, kami komited membina kediaman yang memenuhi keperluan rakyat Malaysia dan terus berkembang secara mampan.
Beliau kini mempunyai hampir 65 projek aktif di seluruh Malaysia, dan merancang melancarkan pembangunan baharu bernilai lebih RM3.3 bilion pada tahun 2025.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), syarikat mencatat hasil RM2.52 bilion, disokong pelaksanaan disiplin, operasi cekap dan penawaran produk strategik meskipun berdepan cabaran pasaran.
Kumpulan itu turut mengekalkan penarafan 4 bintang dalam Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Bursa Malaysia, menjadikannya antara enam pemaju hartanah sahaja yang menerima pengiktirafan tersebut.
Bagi tempoh lima bulan pertama 2025, kumpulan itu meraih jualan hartanah baharu sebanyak RM1.01 bilion, meningkat daripada RM992 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu dipacu permintaan kukuh terhadap siri rumah mampu milik M Series yang menampilkan reka bentuk praktikal, harga berpatutan dan lokasi strategik.
Selain itu, Mah Sing merupakan satu daripada hanya empat pemaju tersenarai dalam kedua-dua Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia dan FTSE4Good Bursa Malaysia Shariah, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam ESG.- DagangNews.com








