KUALA LUMPUR 13 Mac – Malaysia Aviation Group (MAG) menegaskan syarikat penerbangan di bawah portfolionya sentiasa mengkaji semula kadar harga tambang dan caj bahan api selaras dengan keadaan pasaran semasa.
“Kumpulan kekal komited untuk mengimbangi pengurusan kos sambil mengekalkan kesalinghubungan yang selamat dan boleh dipercayai di seluruh rangkaiannya,” kata MAG dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Kumpulan yang mengendalikan syarikat penerbangan Malaysia Airlines, Firefly dan AMAL itu berkata kajian semula tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menguruskan kos operasi dan pada masa sama memastikan kesalinghubungan yang stabil di seluruh rangkaiannya.
Kenyataan MAG itu dikeluarkan ketika syarikat penerbangan di seluruh dunia memantau kenaikan harga bahan api jet ekoran keadaan geopolitik yang sentiasa berubah, yang terus mempengaruhi kos operasi serta struktur tambang dalam sektor penerbangan.
Baru-baru ini, satu hantaran yang tular di platform X oleh seorang pengguna, Pemburu Tiket Murah, menyatakan bahawa beberapa syarikat penerbangan utama telah mengumumkan kenaikan caj bahan api susulan kenaikan harga minyak global, termasuk Malaysia Airlines, Firefly dan Batik Air.
Menurut hantaran bertarikh 9 Mac yang dikongsi oleh Pemburu Tiket Murah itu, pelarasan harga tambang bagi Firefly akan dilaksanakan dalam dua peringkat.
Fasa 1, yang berkuat kuasa pada 11 Mac, terpakai untuk semua destinasi kecuali di Filipina manakala Fasa 2, yang berkuat kuasa pada 25 Mac turut akan berkuat kuasa di Filipina.
Malaysia Airlines berkata ia juga akan melaksanakan pelarasan harga tersebut dalam dua peringkat.
Batik Air pula mengesahkan kepada Bernama bahawa ia baru-baru ini mengeluarkan notis kepada rakan perdagangan pelancongan mengenai penyesuaian caj bahan api untuk kedua-dua laluan domestik dan antarabangsa, bagi mencerminkan tekanan kos yang meningkat dihadapi oleh syarikat penerbangan.
Harga bahan api jet, yang sebelum ini berada di antara AS$85 hingga AS$90 setong sebelum konflik AS-Iran, kini melonjak melebihi AS$100 setong sejak beberapa hari kebelakangan ini. – BERNAMA








