KUALA LUMPUR 17 Mac - MAG Holdings Bhd, melalui anak syarikat penuhnya, North Cube Sdn Bhd (NCSB), memperoleh tanah pertanian dan aset di Tawau, Sabah, dengan jumlah RM39.6 juta melalui dua transaksi.
Pemerolehan pertama yang bernilai RM32.6 juta, melibatkan pembelian tujuh tanah pertanian dengan keluasan kira-kira 44.92 hektar daripada Pegagau Aquaculture Sdn Bhd (PASB), bersama aset pertanian yang berkaitan.
Pembelian itu merangkumi RM10 juta untuk tanah pertanian, RM15 juta untuk bangunan dan struktur, serta RM7.6 juta untuk tumbuhan, jentera dan kenderaan.
Transaksi berkenaan dikategorikan sebagai transaksi pihak berkaitan, memandangkan Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas, Melvin Lim Chun Woei di MAG, adalah anak kepada pengarah dan pemegang saham PASB.
Ia dijangka mengukuhkan operasi akuakultur udang MAG dan mengoptimumkan sumber syarikat.
Pemerolehan kedua, yang bernilai RM7 juta, melibatkan pembelian tanah pertanian seluas 23.16 hektar daripada Chong Kah Nyuk @ Lilian.
Tanah itu yang sebelum ini terdiri daripada 14 plot berasingan, sedang dalam proses digabungkan di bawah satu hak milik baharu.
Harga pembelian dikira pada RM30.22 setiap meter persegi.
Transaksi berkenaan juga merupakan transaksi pihak berkaitan, kerana penjualnya adalah ibu kepada Melvin Lim.
Pemerolehan selaras dengan strategi pertumbuhan jangka panjang MAG dalam sektor akuakultur.
Kedua-dua transaksi dijangka meningkatkan pendapatan dalam jangka sederhana dan panjang, walaupun ia tidak akan memberi kesan material terhadap pendapatan setiap saham, aset bersih, atau tahap hutang MAG bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
Tiada kelulusan daripada pemegang saham atau pihak berkuasa diperlukan. - DagangNews.com








