Mad Hat Asia dilantik sebagai agensi perhubungan awam PUMA Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mad Hat Asia dilantik sebagai agensi perhubungan awam PUMA Malaysia

Pengasas dan Pengarah Urusan Mad Hat Asia, Rengeeta Rendava
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Mac – Mad Hat Asia mengumumkan kejayaan dilantik sebagai agensi perhubungan awam (PR) bagi PUMA Malaysia selepas melalui proses bidaan kompetetif.

 

Lebih manis kejayaan itu menyusuli selepas agensi itu mendapat pengiktirafan sebagai antara 36 agensi terbaik di Asia oleh PRovoke Media menerusi penarafan Best Agencies in Asia-Pacific 2025.

 

Dalam kenyataan hari ini, agensi tersebut memberitahu kerjasama selama 12 bulan itu berkuat kuasa dari Februari 2026 hingga Januari 2027, dengan fokus menyokong agenda pertumbuhan jenama dan kategori PUMA di Malaysia.

 

Di bawah skop yang dipersetujui, Mad Hat Asia akan bertindak sebagai pusat rujukan PR utama, termasuk mengurus fungsi pejabat media tempatan dan hubungan media.

 

Selain itu Mad Hat Asia juga melaksanakan penglibatan proaktif bersama media serta pempengaruh, membina rangkaian strategik, menyelaras aktivasi kempen dan menyokong penganjuran acara.

 

Pengarah Pemasaran Kanan Serantau Asia Tenggara PUMA, Gabriel Yap berkata, pemilihan agensi itu dibuat berdasarkan keupayaannya menggabungkan strategi komunikasi yang mantap dengan pelaksanaan yang konsisten.

 

“Mad Hat Asia menunjukkan kekuatan dalam pengurusan projek yang tersusun serta pemahaman mendalam terhadap komuniti dan subkultur tempatan yang mempengaruhi cara rakyat Malaysia berinteraksi dengan sukan dan gaya hidup.

 

“Kami yakin kerjasama ini akan membantu memperkukuh hubungan PUMA dengan pengguna tempatan,” katanya.

 

Selain pelaksanaan, Mad Hat Asia turut menyokong usaha melokalisasikan naratif global PUMA ke dalam strategi komunikasi, perancangan dan pelaksanaan merentasi kategori Sportstyle dan Performance, khususnya dalam segmen larian, latihan serta sukan berpasukan.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Mad Hat Asia, Rengeeta Rendava berkata, kerjasama itu selari dengan pendekatan agensi yang menekankan penceritaan berasaskan komuniti.

 

“Jenama gaya hidup yang kukuh dibina melalui penglibatan komuniti yang mendorong interaksi dan perbualan, bukan sekadar keterlihatan.

 

“Kami melihat potensi besar untuk mengekalkan momentum jenama serta membina kredibiliti jangka panjang PUMA dalam pasaran Malaysia,” katanya.

 

Dalam perkembangan sama, Mad Hat Asia memaklumkan Bel Group turut memperbaharui kontrak retainer dengan agensi itu bagi tahun 2026, meneruskan kerjasama dalam memperkukuh keterlihatan jenama serta penglibatan pengguna melalui strategi komunikasi bersepadu. - DagangNews.com