Lynas mula hasilkan nadir bumi berat samarium di Malaysia, lebih awal daripada sasaran April | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lynas mula hasilkan nadir bumi berat samarium di Malaysia, lebih awal daripada sasaran April

KUALA LUMPUR 19 Mac - Lynas Rare Earths Ltd. telah memulakan pengeluaran samarium di loji pemprosesannya di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat itu sebagai pembekal alternatif kepada China bagi bahan nadir bumi kritikal.

 

Syarikat berpangkalan di Australia itu dalam satu kenyataan memaklumkan, kumpulan pertama samarium berjaya dihasilkan lebih awal daripada sasaran April, sekali gus menambah kepada pengeluaran terbium dan disprosium yang telah dimulakan sejak tahun lalu.

 

Ketiga-tiga bahan ini diklasifikasikan sebagai nadir bumi “berat” dan semakin mendapat permintaan tinggi selepas China mengehadkan eksportnya tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze berkata, penambahan pengeluaran samarium oksida membolehkan syarikat menyediakan rangkaian lebih luas bahan nadir bumi ringan dan berat.

 

“Pelanggan akan menggunakan bahan ini untuk menghasilkan magnet kekal berprestasi tinggi,” katanya lapor Bloomberg.

 

Samarium digunakan terutamanya dalam penghasilan magnet samarium-kobalt berkuasa tinggi yang digunakan dalam pelbagai sektor termasuk sistem persenjataan berketepatan tinggi, peralatan perubatan canggih serta kenderaan elektrik.

 

Menurut kajian oleh United States Geological Survey tahun lalu, gangguan bekalan samarium berpotensi memberi risiko lebih besar kepada ekonomi Amerika Syarikat berbanding gangguan mana-mana komoditi tunggal lain.

 

Lynas, yang merupakan antara dua pengeluar utama nadir bumi di luar pengaruh China, turut memperbaharui perjanjian bekalan jangka panjang dengan pembeli dari Jepun serta memeterai kontrak empat tahun bernilai AS$96 juta dengan Pentagon bagi pembekalan oksida nadir bumi.

 

Sementara itu, pengeluar dari Amerika Syarikat, MP Materials Corp. menjangkakan loji pengasingan nadir bumi beratnya akan mula beroperasi menjelang pertengahan 2026.

 

Syarikat itu turut merancang untuk memulakan pengeluaran terbium dan disprosium pada tahun yang sama, menurut pihak pengurusannya dalam panggilan pendapatan bulan lalu.

 

Ketua Pegawai Operasi MP Materials, Michael Rosenthal berkata, syarikat itu optimis untuk menjadi pengeluar terbesar nadir bumi berat di Hemisfera Barat dalam jangka panjang.