LSH Capital terima tawaran Perbadanan Aset Keretapi beli tanah RM197.9 juta di Country Heights | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LSH Capital terima tawaran Perbadanan Aset Keretapi beli tanah RM197.9 juta di Country Heights

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Mei – Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital) menerima tawaran daripada Perbadanan Aset Keretapi (Railway Assets Corp, RAC) untuk membeli dua lot tanah di Pekan Country Heights, Selangor.

 

Tanah berkenaan berkeluasan 7.04 hektar (17.4 ekar) dengan nilai tawaran sebanyak RM197.9 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LSH berkata cadangan transaksi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan hartanah di atas tapak berkenaan pada masa hadapan.

 

Tawaran tersebut hadir susulan LSH Capital sebelum ini mengemukakan cadangan pembangunan tanah itu sebagai respons kepada permintaan cadangan (RFP) yang dikeluarkan oleh RAC.

 

RAC merupakan entiti berkaitan kerajaan yang mengurus dan mengoptimumkan aset milik sektor rel, termasuk melalui pelupusan atau pembangunan semula aset tidak terpakai.

 

Langkah penawaran tanah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha RAC untuk memanfaatkan aset hartanahnya bagi menjana nilai tambah jangka panjang.

 

Bagaimanapun, butiran terperinci mengenai pelan pembangunan yang dicadangkan di atas tanah tersebut tidak didedahkan kepada umum.

 

LSH Capital memaklumkan perjanjian rasmi bagi urus niaga itu dijangka dimeterai dalam tempoh 30 hari selepas surat tawaran diterima secara rasmi.

 

Selepas itu, transaksi berkenaan masih tertakluk kepada beberapa syarat penting sebelum ia dapat dimuktamadkan sepenuhnya.

 

Antara syarat utama termasuk kelulusan pemegang saham LSH Capital melalui mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan.

 

Selain itu, syarikat juga perlu memperoleh kelulusan daripada Kementerian Ekonomi serta mana-mana pihak berkuasa kerajaan, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.

 

LSH Capital turut menjelaskan RAC mempunyai hak untuk menamatkan surat tawaran sekiranya terdapat sebarang salah nyata, pendedahan tidak lengkap, tidak tepat atau kegagalan mendedahkan maklumat material berkaitan cadangan pembangunan tersebut.

 

Hak penamatan itu juga boleh dilaksanakan sekiranya terdapat pelanggaran syarat atau isu berkaitan ketelusan maklumat yang diberikan oleh syarikat.

 

Urus niaga ini dilihat berpotensi memberi impak positif kepada strategi pengembangan LSH Capital dalam sektor pembangunan hartanah sekiranya ia dimuktamadkan dan dilaksanakan kelak. - DagangNews.com