LSH Capital tandatangani perjanjian konsesi 20 tahun Menara KL | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LSH Capital tandatangani perjanjian konsesi 20 tahun Menara KL

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Mac - Lim Seong Hai Capital Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE, menandatangani perjanjian konsesi selama 20 tahun bagi mengendalikan dan menyelenggara Menara Kuala Lumpur, hampir setahun selepas pertama kali mengumumkan kemenangan kontrak tersebut.

 

LSH Capital memaklumkan, pihaknya telah menandatangani perjanjian konsesi dengan Kerajaan Persekutuan, yang akan bermula pada 1 April 2025.

 

"Konsesi ini diberikan kepada LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), yang merupakan usaha sama 70:30 antara anak syarikat milik penuh LSH BEST Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd (SMMSB).

 

"SMMSB adalah syarikat Bumiputera yang dimiliki secara persendirian dan pakar dalam kerja-kerja mekanikal dan elektrikal (M&E) serta menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan bangunan," jelas syarikat dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Sebagai sebahagian daripada perjanjian, kerajaan akan menerima 15% daripada hasil pendapatan tahunan LSHSM.

 

Di bawah perjanjian itu, LSHSM diberi hak eksklusif untuk mengendalikan, mengurus, dan menyelenggara Menara Kuala Lumpur serta kawasan konsesinya. 

 

Ia termasuk kerja-kerja pengubahsuaian dan penyelenggaraan, pengurusan keselamatan, serta perkhidmatan pengurusan kemudahan.

 

LSHSM juga diberi kuasa untuk mengutip bayaran kemasukan, menjana pendapatan daripada aktiviti komersial dan membangunkan kemudahan baharu seperti ruang runcit, tempat acara dan kawasan tempat letak kereta.

 

Selain itu, syarikat turut mengurus kemudahan komersial sedia ada, termasuk restoran dan kiosk, sambil mengekalkan semua pendapatan berkaitan.

 

LSH Capital berkata, konsesi tersebut dijangka tidak memberi kesan besar terhadap struktur kewangan kumpulan, dengan anggaran kos operasi sekitar RM10.3 juta setiap tahun.

 

Kos berkenaan akan dibiayai melalui dana dalaman atau pinjaman bank. 

 

Sebarang suntikan ekuiti atau jaminan pinjaman yang diperlukan akan dikongsi antara LSH Capital dan SMMSB mengikut pegangan saham mereka dalam LSHSM.

 

Syarikat itu juga menjelaskan, konsesi berkenaan memberi peluang kepada mereka untuk memanfaatkan potensi Menara KL sebagai hab pelancongan dan penyiaran, sambil menjadikan perkhidmatan pengurusan kemudahan sebagai sumber pendapatan berulang yang baharu.

 

Selain itu, reka bentuk dan pembinaan kemudahan tambahan yang dianggarkan bernilai RM70.2 juta dijangka mengukuhkan buku pesanan pembinaan semasa LSH Capital.

 

Saham LSH Capital digantung pada 84.5 sen sejak 7 Mac 2025 di Pasaran LEAP, menunggu proses pemindahan mereka ke Pasaran ACE yang dijadualkan pada 21 Mac 2025.

 

Pada Mei tahun lalu, Kerajaan Persekutuan mengumumkan LSHSM dianugerahkan konsesi Menara KL selama 20 tahun selepas penilaian tender oleh kerajaan dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

 

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika itu, keputusan tersebut dibuat selepas meneliti tender dan cadangan yang dikemukakan melalui proses permohonan cadangan (RFP). 

 

Beliau berkata, satu daripada syarat kerajaan adalah semua syarikat yang terlibat mestilah mempunyai kapasiti kewangan sekurang-kurangnya RM18 juta. - DagangNews.com