LPI Capital catat untung bersih RM377.09 juta pada FY24 disokong oleh hasil segmen insurans am tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LPI Capital catat untung bersih RM377.09 juta pada FY24 disokong oleh hasil segmen insurans am tinggi

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Feb - Untung bersih LPI Capital Bhd meningkat kepada RM377.09 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24),berbanding dengan RM313.73 juta setahun sebelumnya, diorong oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada segmen insurans am.

 

Hasil bagi tahun itu juga meningkat kepada RM1.93 bilion daripada RM1.91 bilion, didorong oleh segmen pegangan pelaburan, yang menyaksikan peningkatan 42.4% atau RM13.3 juta, kepada RM44.70 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, segmen itu merekodkan RM31.4 juta pada 2023, disumbangkan oleh pendapatan dividen yang lebih tinggi. 

 

Sementara itu, segmen insurans am mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM1.88 bilion pada FY24, berbanding RM1.87 bilion pada 2023, disokong oleh pendapatan dividen dan pendapatan faedah yang lebih tinggi yang diterima pada tahun kewangan semasa.

 


Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24), LPI Capital mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM73.86 juta, berbanding RM78.58 juta tahun ke tahun, disebabkan keuntungan yang lebih rendah daripada segmen insurans am.

 


“Segmen insurans am melaporkan penurunan 6.6% atau RM6.9 juta, kepada RM97.6 juta, turun daripada RM104.5 juta pada suku keempat 2023.

 


“Ini terutamanya disebabkan oleh kerugian nilai saksama bersih sebanyak RM5.4 juta berbanding RM10.6 juta keuntungan nilai saksama bersih yang dicatatkan pada suku keempat 2023,” kata LPI Capital.

 

Hasil bagi suku tersebut meningkat kepada RM487.64 juta daripada RM481.35 juta setahun sebelumnya.

 

Katanya, peningkatan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh segmen insurans amnya, yang meningkat sebanyak RM6.2 juta kepada RM487.1 juta, berbanding RM480.9 juta pada suku yang sama pada 2023, dipacu oleh hasil insurans yang lebih tinggi.

 

Melangkah ke hadapan, LPI Capital melihat peluang yang lebih besar untuk menjual silang produk insurans kepada pelanggan Public Bank Bhd dan membangunkan produk yang sesuai bagi memenuhi keperluan insurans mereka.

 

LPI Capital memasuki lembaran baharu apabila Public Bank melengkapkan pengambilalihan 44.15% kepentingan dalam kumpulan itu melalui pembelian saham pada 4 Disember 2024.

 

Sementara itu, kumpulan itu berkata, ia akan terus menekankan persaingan untuk perniagaan baharu, khususnya bagi projek infrastruktur dan pelaburan asing baharu.

 

"Rancangan sedang dijalankan untuk mengautomasikan lagi proses dan meningkatkan saluran pengedaran kumpulan.

 

"Kumpulan itu juga akan terus berusaha membangunkan lebih banyak penyelesaian insurans hijau yang disesuaikan untuk aset mesra alam dan berfokuskan kemampanan," katanya. - DagangNews.com