Lonjakan pusat data kukuhkan sektor utiliti, TNB kekal pilihan Kenanga Research sebagai penerima manfaat utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lonjakan pusat data kukuhkan sektor utiliti, TNB kekal pilihan Kenanga Research sebagai penerima manfaat utama

Kredit gambar - Facebook Fazli Salleh
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 April - Sektor utiliti dijangka terus menjadi penerima manfaat utama daripada perkembangan pesat pusat data di Malaysia, sekali gus menyokong pertumbuhan permintaan elektrik yang mampan serta aliran pendapatan berulang jangka panjang.

 

Menurut Kenanga Research, permintaan elektrik dijangka berkembang sekitar 4.0% hingga 4.5% bagi tahun kewangan 2026, mengatasi unjuran konservatif sebanyak 3.5%, selari dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

"Peningkatan ini dipacu terutamanya oleh pertambahan beban komersial susulan pengembangan kapasiti pusat data yang rancak di seluruh negara," katanya dalam nota kajian sektor.

 

Menurut firma penyelidikan itu lagi perkembangan pesat pusat data menyaksikan penggunaan beban meningkat dua kali ganda kepada 850MW pada Disember 2025 berbanding 405MW setahun sebelumnya.

 

Walaupun pertumbuhan permintaan keseluruhan sederhana kepada 2.3% tahun ke tahun pada FY25 susulan asas tinggi 6.2% pada FY24, sektor komersial kekal sebagai penyumbang utama dengan pertumbuhan 10.0%, dipacu oleh pusat data dan perkhidmatan runcit.

 

Ini berjaya mengimbangi kelemahan dalam sektor perindustrian yang mencatatkan penyusutan sebanyak 5.8%, disebabkan prestasi lemah pemain besi dan keluli.

 

Menurut Kenanga, perkembangan industri pusat data turut disokong kadar penyiapan projek yang memberangsangkan, dengan 35 projek berkapasiti keseluruhan 4,500MW siap sehingga akhir 2025, termasuk 17 projek yang mula beroperasi dalam tahun tersebut.

 

Selain itu, sebanyak 1,800MW kapasiti sedang dalam pembinaan ketika ini, manakala 49 Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) telah dimeterai dengan jumlah kapasiti terkumpul sebanyak 7,500MW.

 

Lonjakan ini dijangka memberi impak positif kepada pendapatan TNB, dengan peningkatan permintaan yang bukan sahaja mempertingkatkan kecekapan loji, malah memerlukan perbelanjaan modal penghantaran yang lebih tinggi bagi memenuhi keperluan voltan tinggi khusus.

 

Kesan ini telah mula dizahirkan dalam operasi penjanaan (GenCo) TNB apabila keuntungan bersih teras (PAT) melonjak kepada RM315.6 juta pada FY25 berbanding hanya RM10.6 juta pada FY24.

 

Sehubungan itu Kenanga mengekalkan TNB sebagai pilihan utama sektor itu dengan saranan “overweight” dan harga sasaran RM17.00, disokong oleh pertumbuhan permintaan, kitaran perbelanjaan modal (capex) bagi penghantaran dan pengagihan (T&D), lanjutan perjanjian pembelian tenaga (PPA) serta pembangunan kapasiti baharu.

 

Selain itu, pengeluar tenaga bebas (IPP) seperti Malakoff Corp Bhd (MALAKOF) dan YTL Power International Bhd (YTLPOWR) turut dijangka meraih manfaat daripada pengembangan kapasiti tenaga dalam negara.

 

Bagi memenuhi sasaran tambahan kapasiti sebanyak 6GW hingga 8GW menjelang 2030, kerajaan telah memperkenalkan program NEWGEN25 pada Februari lalu, manakala proses tender bagi NEWGEN26 dijadualkan ditutup pada Julai 2026.

 

Merangsang Permintaan Gas

Dalam masa sama, peningkatan penggunaan elektrik dijangka merangsang permintaan gas, sekali gus membuka peluang kepada pembangunan terminal regasifikasi baharu.

 

Perkembangan ini dijangka memberi limpahan positif kepada Petronas Gas Bhd (PETGAS) dan Gas Malaysia Bhd (GASMSIA), masing-masing dengan harga sasaran RM18.70 dan RM4.45.

 

Syarikat seperti Southern Cable Group Bhd (SCGBHD) turut dilihat sebagai proksi utama kepada kitaran naik taraf grid negara, dengan permintaan terhadap kabel kuasa dijangka kekal kukuh dalam jangka sederhana.

 

Ini disokong oleh kira-kira 3GWac Perjanjian Bekalan Tenaga (ESA) yang masih dalam saluran paip, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap komponen infrastruktur tenaga.

 

Secara keseluruhan, sektor utiliti dilihat terus menawarkan ketahanan pendapatan berikutan sokongan aset terkawal, aliran tunai yang stabil serta pulangan dividen yang kompetitif melebihi 4%, khususnya dalam kalangan pemain seperti Gas Malaysia.

 

Sehubungan itu, Kenanga mengekalkan penarafan “overweight” terhadap sektor ini, disokong prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kekal positif. - DagangNews.com