KUALA LUMPUR 28 Mei - Meta Bright Group Bhd mencatat prestasi kewangan memberangsangkan bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026 apabila hasil kumpulan melepasi paras RM200 juta buat pertama kali, disokong pertumbuhan kukuh segmen bahan binaan, pembangunan hartanah dan hospitaliti.
Bagi tempoh tersebut, hasil kumpulan meningkat 15% tahun ke tahun kepada RM201.23 juta berbanding RM175.04 juta yang direkodkan pada FY6/2025.
Prestasi lebih baik itu turut mendorong peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 23% kepada RM17.08 juta berbanding RM13.88 juta sebelumnya, manakala keuntungan bersih melonjak 58% kepada RM11.01 juta daripada RM6.95 juta.
Pendapatan sesaham asas turut meningkat kepada 0.40 sen.
Segmen bahan binaan kekal sebagai penyumbang utama hasil kumpulan apabila menjana RM150.3 juta atau kira-kira 75% daripada keseluruhan hasil bagi tempoh 9M FY6/2026.
Pembangunan Infrastruktur Sabah
Prestasi segmen itu terus disokong aktiviti pembinaan dan pembangunan infrastruktur di Sabah dengan hasil suku ketiga FY6/2026 meningkat kepada RM46.2 juta susulan pertambahan pesanan projek.
Sementara itu, segmen pembangunan hartanah mencatat pertumbuhan paling ketara apabila hasil melonjak kepada RM23.2 juta berbanding RM3 juta setahun lalu.
Peningkatan itu dipacu oleh jualan inventori siap dan bil kemajuan lebih tinggi daripada projek Damai Suites di Kota Kinabalu yang baru-baru ini mencapai tahap topping-out bagi pembangunan 16 tingkat tersebut.
Segmen hospitaliti pula merekodkan hasil RM22.4 juta disokong peningkatan hasil bilik penginapan, makanan dan minuman serta pusat konvensyen.
Pada masa sama, segmen berkaitan tenaga berkembang kepada RM1.8 juta hasil peningkatan penyiapan projek solar, kecekapan tenaga dan pengecasan kenderaan elektrik (EV).
Pengarah Eksekutif (korporat dan perancangan strategik) Meta Bright, Derek Phang Kiew Lim berkata, pencapaian tersebut mencerminkan kemajuan berterusan kumpulan dalam memperkukuh asas pendapatan.
“Pencapaian hasil melebihi RM200 juta dalam tempoh sembilan bulan bersama peningkatan 58% keuntungan bersih menunjukkan kemajuan yang kami capai merentasi pelbagai segmen perniagaan.
“Kami kini melihat sumbangan lebih menyeluruh daripada segmen bahan binaan, pembangunan hartanah dan hospitaliti, manakala inisiatif berkaitan tenaga mula beralih daripada peringkat pembangunan awal kepada sumbangan operasi,” katanya.
Beliau berkata, fokus kumpulan selepas ini adalah untuk terus meningkatkan kualiti pendapatan melalui pengurusan modal kerja yang lebih berdisiplin dan pengembangan platform pendapatan berulang.
Menurutnya, bidang seperti tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, pengecasan EV dan hartanah pelaburan akan menjadi pemacu penting dalam membina asas pendapatan yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Dari sudut kedudukan kewangan, Meta Bright merekodkan aliran tunai operasi positif sebanyak RM12.9 juta bagi tempoh sembilan bulan tersebut.
Jumlah ekuiti kumpulan turut mengukuh kepada RM338.5 juta setakat akhir Mac 2026 manakala jumlah pinjaman kekal stabil pada RM156.9 juta.
Fokus Masa Depan
Dalam perkembangan lain, Meta Bright menjangka perniagaan bahan binaannya terus mendapat manfaat daripada permintaan dipacu pembangunan infrastruktur susulan peruntukan RM6.9 bilion kerajaan Persekutuan untuk Sabah di bawah Belanjawan 2026.
Kumpulan itu juga terus memperkukuh segmen berkaitan tenaga sejajar agenda peralihan tenaga negara ke arah tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan pembangunan infrastruktur hijau.
Antara perkembangan terkini termasuk pelaksanaan perjanjian bekalan dengan Tenaga Nasional Bhd bagi pembangunan sistem fotovolta solar susulan memorandum persefahaman sebelum ini dengan Koperasi Kakitangan Istana Pahang Bhd.
Selain itu, Meta Bright turut mengumumkan langkah pemerolehan strategik menegak menerusi cadangan langganan dalam Bumidotearth Sdn Bhd dan pengambilalihan TTOP Industrial & Engineering Sdn Bhd bagi memperkukuh keupayaan kecekapan tenaga, EPCC dan kejuruteraan elektrik kumpulan.
Pada penutupan dagangan Selasa, saham Meta Bright kekal pada 15 sen dengan 111,000 saham diniagakan, meletakkan nilai pasaran syarikat sekitar RM408 juta. - DagangNews.com








