Loji baharu Malakoff di Sungai Udang bakal proses 1,056 tan sisa sehari & hasilkan 22 megawatt tenaga hijau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Loji baharu Malakoff di Sungai Udang bakal proses 1,056 tan sisa sehari & hasilkan 22 megawatt tenaga hijau

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 April – Malakoff Corporation Berhad bakal memulakan projek loji yang menukar sisa pepejal kepada tenaga (WTE) Sungai Udang di Melaka untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sisa serta menukarkan sisa domestik kepada tenaga hijau. 

 

Projek ini seiring dengan usaha Malaysia ke arah pengurusan sisa yang lebih mampan dan cekap.

 

Loji WTE Sungai Udang direka untuk memproses sehingga 1,056 tan sisa pepejal perbandaran setiap hari dan mampu menjana kira-kira 22 megawatt tenaga boleh baharu. Dengan kapasiti ini, loji berkenaan dijangka dapat menyokong keperluan pengurusan sisa di Melaka yang semakin meningkat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata projek ini adalah langkah penting bukan sahaja bagi syarikat, tetapi juga bagi pembangunan pengurusan sisa di Malaysia. 

 

“Pengurusan sisa yang cekap dan lestari kini menjadi keutamaan dan pembangunan loji WTE Sungai Udang adalah sebahagian daripada strategi peralihan tenaga yang lebih luas. 

 

“Malakoff memberi tumpuan kepada pembangunan segmen penyelesaian alam sekitar secara berstruktur, dengan WTE sebagai salah satu bidang utama,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Majlis pecah tanah projek ini telah diadakan pada 2 April 2026 dan disempurnakan bersama oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. 

 

Strategi tumpuan syarikat kini adalah untuk memperkukuh keupayaan dan disiplin pelaksanaan projek agar pengembangan sektor WTE dapat dilaksanakan dengan berkesan. 

 

Malakoff juga menyasarkan untuk menguruskan 10,000 tan sisa setiap hari menjelang 2031.

 

Projek ini dijangka membantu menangani kapasiti tapak pelupusan yang hampir penuh di Melaka. Dengan itu, sisa domestik dapat ditukar kepada tenaga hijau, sekaligus menyokong pembangunan ekonomi kitaran dan inisiatif tenaga bersih negara.

 

Ketika ini, Malakoff adalah antara peneraju tenaga bebas terbesar Malaysia dengan kapasiti penjanaan 6,953 megawatt, termasuk portfolio tenaga boleh diperbaharui sebanyak 766 megawatt. Malakoff juga terlibat dalam pengurusan sisa melalui Alam Flora Sdn. Bhd dengan kapasiti sehingga 6,200 tan sehari berdasarkan kontrak sedia ada. - DagangNews.com