Lim Seong Hai lancar prospektus IPO Pasaran ACE, sasar kumpul sehingga RM168 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lim Seong Hai lancar prospektus IPO Pasaran ACE, sasar kumpul sehingga RM168 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Feb - Syarikat pembinaan dan kejuruteraan, Lim Seong Hai Capital Bhd, melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) untuk mengumpul RM168.08 juta sebagai sebahagian daripada pemindahan penyenaraian dari Pasaran LEAP ke Pasaran ACE.

 

Pengerusi Lim Seong Hai, Tan Sri Lim Keng Cheng berkata, IPO yang ditetapkan pada harga 88 sen seunit saham itu melibatkan penerbitan 132 juta saham baharu serta tawaran penjualan 59 juta saham sedia ada. 

 

Jelas beliau, secara keseluruhannya, penyenaraian itu akan menawarkan 22.78% pegangan dalam syarikat kepada pelabur.

 

Permohonan untuk IPO berkenaan akan ditutup pada 6 Mac 2025, dengan penyenaraian dijadualkan pada 21 Mac 2025.

 

Keng Cheng berkata, peralihan kumpulan ke Pasaran ACE, membolehkan syarikat terus bertanggungjawab, berinovasi dan memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.

 

Lim Seong Hai, yang disenaraikan di Pasaran LEAP pada 30 Julai 2021, terlibat dalam segmen produk pembinaan seperti pengedaran dan peruncitan bahan binaan, produk pencahayaan, serta produk mekanikal dan elektrik melalui Lim Seong Hai Lighting Sdn Bhd.

 

Syarikat itu juga terlibat dalam peruncitan dan pengedaran perkakasan dan alat, serta penyewaan mesin untuk industri pembinaan, yang dikendalikan oleh Knight Auto Sdn Bhd.

 

Pada masa ini, kumpulan tersebut mempunyai 10 kedai fizikal di Lembah Klang, disokong kedai dalam talian dan platform e-dagang pihak ketiga.

 

Tawaran awam itu dijangka mengumpul hasil kasar sebanyak RM116.16 juta, di mana RM108.86 juta akan digunakan sebagai modal kerja untuk projek pembinaan kumpulan dan selebihnya akan digunakan untuk menampung kos penyenaraian yang dijangka.

 

Di bawah tawaran awam tersebut, Lim Seong Hai akan memperuntukkan 16.77 juta saham baharu untuk orang ramai di Malaysia dan 12.58 juta saham baharu untuk individu yang layak. 

 

Sementara itu, sebanyak 102.66 juta saham baharu akan ditawarkan kepada pelabur Bumiputera melalui penempatan persendirian.

 

Tawaran penjualan melalui penempatan persendirian pula melibatkan 2.14 juta saham sedia ada kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan dan 56.86 juta saham kepada pelabur institusi serta pelabur terpilih.

 

Hasil daripada penjualan saham sedia ada akan diperoleh sepenuhnya oleh pemegang saham yang menjual iaitu Keng Cheng, Timbalan Pengerusi, Datuk Lim Keng Guan, Pengarah Urusan, Lim Pak Lian dan Pengarah Urusan Tidak Bebas bagi Bahagian Mesin, Perkakasan dan Alat, Lim Keng Hun, serta syarikat milik mereka Lim Seong Hai Resources Sdn Bhd.

 

Kesemua empat individu tersebut adalah adik-beradik. 

 

Selepas penyenaraian, pegangan gabungan mereka akan sedikit kurang kepada 65%.

 

Pada harga IPO sebanyak 88 sen seunit, Lim Seong Hai akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM737.76 juta. 

 

Setelah disenaraikan, syarikat akan dinilai pada 9.92 kali pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024 (FY2024).

 

Lim Seong Hai melaporkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM74.28 juta daripada pendapatan RM361.41 juta untuk tahun tersebut.

 

AmInvestment Bank adalah penasihat utama, penaja, penjamin tunggal dan agen penempatan tunggal untuk IPO tersebut. - DagangNews.com