KUALA LUMPUR 14 Feb - Penyedia perkhidmatan pembinaan dan kejuruteraan yang diterajui empat beradik, Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital), akan berpindah ke Pasaran ACE daripada Pasaran LEAP di Bursa Saham Malaysia.
Menurut syarikat itu, ia telah menerima kelulusan daripada Bursa Sekuriti untuk pemindahan ke Pasaran ACE.
"Berkaitan perjanjian jaminan runcit, LSH Capital telah menandatangani perjanjian dengan AmInvestment Bank Bhd, sebagai penjamin tunggal untuk menjamin 29.34 juta saham di bawah tawaran runcit," kata syarikat dalam satu pemfailan di Bursa Malaysia, semalam.
Syarikat pembinaan tersebut menawarkan pelbagai perkhidmatan pembinaan, kejuruteraan, serta pembangunan hartanah.
Ia telah berkembang daripada hanya sebagai pembekal dan penyedia produk serta perkhidmatan pembinaan seperti produk pencahayaan dan produk serta perkhidmatan mekanikal dan kejuruteraan, produk perkakasan, alatan, jentera pembinaan dan peralatan.
Syarikat berkenaan diketuai oleh Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif.
Tiga lagi adiknya turut berada dalam lembaga pengarah syarikat iaitu Datuk Seri Lim Keng Cheng sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif, Lim Pak Lian sebagai Pengarah Urusan dan Lim Keng Hun sebagai Pengarah Urusan Bahagian Jentera, Perkakasan dan Alatan.
Anak lelaki Keng Cheng, Lim Ding Shyong pula memegang jawatan Pengarah Eksekutif.
Bagi tahun kewangan yang berakhir 30 September 2024, syarikat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM74.3 juta. - DagangNews.com








