KUALA LUMPUR 6 Feb - Liberty General Insurance memperkenalkan SME BI 365, sebuah produk insurans gangguan perniagaan yang menyeluruh dan mudah yang direka khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.
Tawaran tersebut melengkapi polisi-polisi Insurans Kebakaran Bebas Tarif Liberty seperti Liberty Premier Fire & Con Loss, Fire 365 dan Fire Enhanced, memberikan PKS perlindungan yang lebih kukuh untuk menyokong kesinambungan dan ketahanan perniagaan.
Produk insurans itu bertujuan untuk membantu PKS melindungi perniagaan daripada kerugian pendapatan yang disebabkan oleh kejadian tidak dijangka seperti kebakaran, banjir, atau bencana-bencana lain.
Dengan ciri-ciri perlindungan yang mudah difahami dan proses permohonan yang ringkas, SME BI 365 memberikan PKS perlindungan tambahan yang penting dalam memastikan kelangsungan operasi perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Liberty General Insurance Berhad, Puneet Pasricha berkata, pelan SME BI 365 direka untuk mengurangkan beban pemilik perniagaan dalam menentukan jumlah yang perlu diinsuranskan dan menyediakan rumusan yang sesuai dengan keperluan mereka.
"Ini akan membantu pemilik perniagaan memberi tumpuan kepada pengembangan perniagaan mereka dengan lebih yakin.
"Matlamat kami adalah untuk melengkapkan PKS dengan alat dan sokongan yang diperlukan untuk menghadapi ketidakpastian dalam perniagaan," katanya dalam satu kenyataan.
Dengan perlindungan yang menyeluruh dan fleksibel, SME BI 365 memberi peluang kepada PKS untuk mendapatkan sokongan yang diperlukan bagi menghadapi risiko-risiko yang mungkin timbul dalam perniagaan mereka.
Selain itu, SME BI 365 juga menyediakan pelbagai manfaat seperti perlindungan terhadap kehilangan hasil bersih dan peningkatan kos operasi akibat gangguan perniagaan disebabkan oleh kebakaran, kilat, letupan domestik, serta bencana lain yang diinsuranskan.
Produk tersebut turut menawarkan lanjutan perlindungan dengan premium tambahan untuk senario-senario seperti pencegahan akses atau kegagalan utiliti awam.
Ia juga direka khusus untuk pelbagai jenis perniagaan termasuk restoran, kedai runcit, klinik, dobi, kedai haiwan peliharaan dan pasar mini.
SME BI 365 turut memberikan fleksibiliti kepada pemilik perniagaan, di mana jumlah yang diinsuranskan boleh mencapai maksimum RM5 juta bagi setiap lokasi perniagaan.
Pelan berkenaan memudahkan PKS untuk melindungi perniagaan mereka tanpa perlu melalui proses yang rumit, dengan memberi kemudahan pengiraan jumlah yang diinsuranskan yang mudah dan segera.
Liberty General Insurance menggalakkan semua pemilik PKS untuk mengambil langkah proaktif dalam melindungi perniagaan mereka daripada risiko yang tidak dapat diramalkan. - DagangNews.com








