Lianson Fleet jual Yinson Hermes berharga RM40.7 juta kepada pembeli dari UAE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lianson Fleet jual Yinson Hermes berharga RM40.7 juta kepada pembeli dari UAE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan – Lianson Fleet Group Berhad (LFG) meneruskan usaha penstrukturan semula armada miliknya dengan melupuskan kapal tunda pengendalian sauh (AHTS), Yinson Hermes berharga AS$10 juta atau kira-kira RM40.7 juta.

 

LFG dalam satu kenyataan memaklumkan pelupusan tersebut dilakukan melalui anak syarikat milik tidak langsungnya, Icon Piai 1 (L) Inc kepada pembeli dari Emiriah Arab Bersatu.

 

Menurut LFG, langkah berkenaan sejajar dengan usaha berterusan kumpulan itu untuk membuka nilai daripada aset sedia ada di samping memperkukuh kedudukan kewangan dan asas modalnya dalam persekitaran industri yang semakin mencabar.

 

Hasil pelupusan tersebut dijangka meningkatkan kecairan kumpulan serta menyediakan fleksibiliti kewangan yang lebih besar bagi menyokong rancangan pengembangan ke dalam segmen aset marin lain yang menawarkan profil pulangan lebih stabil dalam jangka panjang.

 

LFG turut memaklumkan bahawa dalam tempoh suku tahun lalu, kumpulan itu telah memperoleh tiga kapal pengangkut pukal sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian perniagaan, selain giat menilai peluang pelaburan dalam aset marin dengan kontrak pajakan jangka panjang dan stabil.

 

Pelupusan Yinson Hermes juga mencerminkan pendekatan proaktif LFG dalam pengurusan portfolio, khususnya dengan menilai semula komposisi armada, kadar penggunaan aset dan potensi pendapatan sejajar dengan perubahan permintaan pasaran dan trend industri.

 

Pengarah Urusan LFG Lim Chern Wooi berkata pelupusan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan untuk meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan kebergantungan kepada segmen kapal sokongan luar pesisir.

 

Beliau berkata, melalui penyusunan semula operasi dan penglibatan dalam segmen perniagaan lain, LFG berjaya membina model perniagaan yang lebih berdaya tahan dan asas pendapatan yang lebih seimbang.

 

“Pendekatan itu membolehkan kumpulan kekal berdaya tahan dalam merebut peluang pasaran baharu, sekali gus menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang dalam landskap industri marin yang sentiasa berubah,” katanya dalam kenyataan tersebut.

 

Pada masa ini, LFG memiliki dan mengendalikan 18 buah OSV serta 39 aset pengangkutan marin, merangkumi kapal tunda, tongkang dan kapal pengangkut pukal, selaras dengan transformasi kumpulan tersebut sebagai pemain marin serantau yang lebih menyeluruh menjelang 2026. - DagangNews.com