KUALA LUMPUR 17 Mac - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) gagal mengenakan taksiran cukai tambahan berjumlah RM81 juta terhadap syarikat perladangan, Kind Action (M) Sdn Bhd (KASB), selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan langkah itu menyebabkan syarikat dikenakan cukai sebanyak dua kali.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan, sebulat suara memutuskan bahawa LHDN bertindak menyalahi undang-undang dengan mengenakan taksiran cukai tambahan ke atas KASB tanpa terlebih dahulu membatalkan taksiran Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) sebelum ini.
Menurut dokumen penghakiman bertulis ditandatangani Tengku Maimun bertarikh 14 Mac 2025, KASB menjual beberapa bidang tanah di Johor antara tahun 2007 dan 2017 dan membayar RPGT dengan sewajarnya di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGTA) 1976.
Bagaimanapun, susulan pengauditan pada 2019, LHDN menilai semula transaksi itu dan memutuskan ia adalah aktiviti perniagaan, menjadikan KASB bertanggungjawab untuk dikenakan cukai pendapatan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP).
LHDN kemudian mengeluarkan taksiran cukai tambahan dan penalti berjumlah lebih RM81 juta tanpa terlebih dahulu membatalkan taksiran RPGT sebelum ini.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, KASB merayu kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) dan memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan taksiran cukai tambahan dan memohon perisytiharan ia tidak sah di sisi undang-undang.
Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak permohonan semakan kehakiman KASB dan memutuskan isu berhubung had masa harus ditangani di hadapan SCIT.
Mahkamah Rayuan sebaliknya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu dan mendapati LHDN telah bertindak menyalahi undang-undang dengan mengenakan cukai sebanyak dua kali ke atas urus niaga tanah yang sama di bawah dua undang-undang yang berbeza.
Dalam rayuan itu, LHDN sebagai perayu berhujah, isu mengenakan responden iaitu KASB cukai dua kali tidak timbul kerana syarikat tidak dikenakan bayaran bagi kedua-dua cukai keuntungan harta tanah dan cukai pendapatan.
KASB menegaskan, penilaian LHDN di bawah RPGTA adalah muktamad kerana ia tidak mengemukakan rayuan terhadap jumlah berkenaan.
KASB seterusnya berhujah, dengan mengeluarkan notis yang dipertikaikan di bawah ACP tanpa membatalkan pelepasan dan taksiran RPGTA terdahulu, LHDN secara tidak sah cuba untuk mengenakan cukai di bawah kedua-dua undang-undang, menyebabkan cukai dikenakan sebanyak dua kali.
Tengku Maimun, yang bersidang bersama-sama hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Abu Bakar Jais, bersetuju dengan responden bahawa undang-undang jelas melarang tindakan cukai berganda.
Menurut mahkamah, LHDN mengeluarkan sijil pelepasan dan taksiran RPGTA, tetapi tujuh tahun kemudian, mengenakan taksiran tambahan di bawah ACP bagi urus niaga tanah yang sama tanpa membatalkan taksiran RPGTA terdahulu.
"Seperti yang didapati oleh Mahkamah Rayuan, tindakan ini sebenarnya menyebabkan cukai dua kali untuk transaksi tanah yang sama tetapi di bawah dua perundangan berbeza yang jelas menyalahi undang-undang.
"Pembayar cukai hanya boleh dikenakan cukai sama ada di bawah RPGTA atau ACP dan tiada pertindihan antara RPGTA dan ACP," kata penghakiman itu. - DagangNews.com








