KUALA LUMPUR 21 Okt - Seramai 36 pemilik, penghuni dan penyewa yang terjejas akibat insiden letupan paip gas di Putra Heights — yang memusnahkan banyak rumah dan mencederakan lebih 150 orang — telah memfailkan saman sivil terhadap lima pihak termasuk kerajaan Malaysia.
Saman itu difailkan pada 17 Oktober di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.
Antara pihak yang dinamakan sebagai defendan ialah Petronas Gas Bhd, Hong & Hong Homes Sdn Bhd, Pinterest Ventures Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta kerajaan Malaysia.
Menurut penyataan tuntutan yang dilihat oleh The Edge, plaintif mendakwa Petronas Gas mempunyai tanggungjawab fidusiari (duty of care) terhadap mereka.
“Dengan memasang dan mengendalikan paip penghantaran gas berhampiran kediaman plaintif, Petronas Gas mempunyai tanggungjawab untuk mengambil segala langkah munasabah dan berkemahiran bagi memastikan paip penghantaran gasnya — daripada reka bentuk, fabrikasi, pemasangan, ujian serta aspek keselamatan operasi dan penyelenggaraan — tidak menyebabkan bahaya atau kerosakan kepada plaintif serta harta mereka,” menurut kenyataan itu.
Plaintif mendakwa Petronas Gas bertindak cuai dan/atau melanggar tanggungjawab fidusiarinya yang mengakibatkan kebocoran gas, letupan serta kebakaran yang berlaku selepas itu.
Mereka turut menegaskan Petronas Gas gagal menjalankan kajian geoteknikal dan/atau geomorfologi mencukupi di kawasan terbabit semasa mereka bentuk jajaran paip penghantaran gas dan ketika pemasangan, khususnya mengambil kira jangka hayat penggunaan paip berkenaan.
Petronas Gas juga didakwa melanggar beberapa kewajipan berkanun di bawah Akta Bekalan Gas 1993 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997, terutamanya kerana gagal memastikan pembinaan serta pengoperasian paip penghantaran gas dilakukan secara selamat di kawasan kejadian.
Antara pelanggaran yang dinyatakan termasuk kegagalan menjalankan tinjauan dan penilaian kesesuaian tanah sebelum pembinaan paip, serta memasang paip di kawasan tanah tidak stabil dan tepu air yang terdedah kepada mendapan dan anjakan tanah.
Syarikat itu turut didakwa melanggar Seksyen 30(6) dan 30(8) akta sama apabila gagal mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kerosakan pada paip, termasuk membenarkan kerja tanah dan pembinaan oleh pihak ketiga dijalankan terlalu hampir tanpa perlindungan sewajarnya serta gagal memaklumkan pemaju berdekatan mengenai kewujudan dan jajaran paip berkenaan.
Selain itu, Petronas Gas didakwa melanggar Seksyen 35 akta sama serta beberapa peruntukan dalam Peraturan 1985 apabila gagal memastikan kerja penyelenggaraan dan operasi dilakukan di bawah penyeliaan personel bertauliah.
Antara kealpaan lain termasuk kegagalan mematuhi piawaian reka bentuk, perancangan kecemasan, penyediaan dokumentasi penyelenggaraan, serta pelaporan pergerakan tanah atau kecacatan kepada pihak berkuasa.
Plaintif berpendapat kegagalan tersebut secara keseluruhannya merupakan pelanggaran terhadap kewajipan berkanun berkaitan keselamatan, pemeriksaan, penyelenggaraan dan tindak balas kecemasan.
Bagi pihak pemaju, Hong & Hong bersama Pinterest didakwa menambah tekanan dan beban terhadap paip penghantaran gas milik Petronas dengan menambak tanah di kawasan milik Petronas, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas paip berkenaan.
Aktiviti pembangunan dan pembinaan mereka turut didakwa menyumbang kepada atau memburukkan lagi hakisan tanah serta mendapan di kawasan kejadian.
Walaupun kedua-dua syarikat mempunyai pengetahuan tentang kewujudan tiga saluran paip penghantaran gas tersebut, mereka didakwa gagal menjalankan siasatan tanah dan kajian geoteknikal sebelum memulakan kerja.
MBSJ didakwa cuai benarkan pemaju
Bagi MBSJ, plaintif mendakwa pihak berkuasa tempatan itu cuai kerana membenarkan Hong & Hong serta Pinterest melaksanakan kerja pembangunan dan pembinaan berhampiran paip penghantaran gas di tanah milik Petronas.
Ini termasuk membenarkan Pinterest meneruskan kerja pembinaan dan pembaikan pembetung walaupun kontraktornya sedang dikenakan tindakan tatatertib oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
MBSJ turut dituduh gagal merancang dengan baik pembangunan dan penggunaan tanah di sekitar kawasan paip, sehingga aktiviti manusia mengubah bentuk muka bumi dan menyumbang kepada hakisan tanah serta mendapan di kawasan kejadian.
Keadaan tersebut didakwa menyebabkan atau memburukkan lagi keretakan paip gas yang membawa kepada kebocoran, letupan dan kebakaran.
Plaintif turut menuduh MBSJ melanggar beberapa kewajipan berkanun di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana gagal mengawal, menyelia dan merancang pembangunan serta kerja pembaikan pembetung yang dijalankan oleh Hong & Hong dan Pinterest.
MBSJ didakwa meluluskan atau mengekalkan kelulusan bagi kerja tersebut tanpa memastikan ia tidak membahayakan keselamatan pemilik tanah bersebelahan atau orang awam, serta membenarkan kerja tanah dan pengorekan dilakukan tanpa penilaian keselamatan yang mencukupi.
Saman ke atas PM
Kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri pula didakwa melanggar kewajipan berkanun di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Langkah Keselamatan Petroleum 1984, Akta Bekalan Gas 1993, serta Peraturan-Peraturan 1985.
Seperti Petronas Gas, plaintif mendakwa pihak berkuasa gagal menjalankan pemeriksaan mencukupi terhadap paip penghantaran gas Petronas dan menilai risiko keadaan tanah terhadap integriti struktur paip berkenaan.
Kerajaan turut didakwa gagal melantik Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta MBSJ sebagai Inspector of Petroleum, meskipun MBSJ telah ditubuhkan sejak 1997 dan mengetahui kewujudan paip gas dalam kawasannya.
Plaintif juga mendakwa kerajaan dan perdana menteri gagal melaksanakan kawalan, penyeliaan dan penguatkuasaan sewajarnya terhadap Petronas Gas, khususnya di bawah Seksyen 3(2) Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang mewajibkan perdana menteri memastikan pematuhan terhadap keperluan keselamatan, penyelenggaraan dan operasi paip gas.
Mereka turut mendakwa pihak berkuasa gagal mewujudkan atau mengekalkan sistem pemantauan dan tindakan pembetulan yang berkesan bagi mengenal pasti serta menangani risiko mendapan dan ketidakstabilan tanah di kawasan kejadian sebelum insiden kebocoran, letupan dan kebakaran pada 1 April berlaku.
Penyataan tuntutan yang difailkan oleh Tetuan Tommy Thomas turut menyebut bahawa plaintif mengalami kecederaan diri, kesakitan fizikal, tekanan mental serta kebimbangan, antara lain.
Mereka menuntut ganti rugi am, teladan, diperberat dan khas daripada semua pihak yang dinamakan, selain kos dan relif lain yang akan ditentukan oleh mahkamah.
Menurut taklimat oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi pada 8 Ogos 2025, sebanyak 511 buah rumah terjejas di kawasan sekitar lokasi kejadian (Putra Heights).
Daripada jumlah itu, 103 rumah mengalami kerosakan melebihi 40%, 203 rumah rosak kurang daripada 40%, manakala 205 rumah tidak mengalami kerosakan.
Sebanyak 306 rumah terletak di Taman Putra Harmoni, menjadikannya kawasan perumahan paling teruk terjejas akibat kebakaran tersebut.
Selain itu, 399 kenderaan turut rosak, dengan 225 daripadanya musnah sepenuhnya dan diisytiharkan total loss, manakala 174 lagi mengalami kerosakan sekitar 50%. - DagangNews.com








