KUALA LUMPUR 20 Mei – Leong Hup International Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 13% bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 disokong prestasi lebih kukuh dalam segmen ternakan dan produk ayam meskipun tanpa sumbangan subsidi kerajaan seperti tahun sebelumnya.
Kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM115.03 juta berbanding RM101.8 juta bagi tempoh sama tahun lalu, manakala hasil meningkat 2.4% kepada RM2.26 bilion daripada RM2.21 bilion.
Namun, tiada dividen diumumkan bagi suku berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Leong Hup berkata, kumpulan tidak merekodkan sebarang subsidi kerajaan pada suku semasa berbanding RM29.63 juta yang diiktiraf dalam suku pertama tahun kewangan 2025.
“Prestasi lebih baik itu didorong peningkatan margin keuntungan dalam segmen ternakan dan produk ayam di pasaran utama termasuk Malaysia, Indonesia dan Singapura.
“Di Malaysia, pertumbuhan disumbangkan oleh harga jualan dan jumlah jualan lebih tinggi bagi anak ayam pedaging berusia sehari (DOC) serta telur, manakala operasi di Indonesia mendapat manfaat daripada peningkatan harga jualan dan volum bagi DOC serta ayam pedaging.
“Pasaran Singapura pula mencatat pertumbuhan hasil sederhana disokong harga ayam segar yang lebih baik dan peningkatan jumlah jualan,” katanya dalam makluman tersebut.
Bagaimanapun, segmen kilang makanan ternakan merekodkan penurunan EBITDA sebanyak 13.6% disebabkan jualan antara syarikat yang lebih rendah selain kesan pertukaran mata wang asing.
Mengulas prospek, Leong Hup berkata, peluang pertumbuhan jangka panjang kekal positif disokong peningkatan penggunaan ayam dan telur per kapita di pasaran operasinya.
Namun, kumpulan itu berkata ketegangan geopolitik berterusan di Asia Barat berpotensi meningkatkan tekanan kos input dan menjejaskan prospek pertumbuhan global, justeru syarikat akan terus memberi tumpuan kepada kawalan kos secara berhemah serta pengurusan aliran tunai yang disiplin bagi memastikan prestasi memuaskan untuk tahun kewangan 2026. - DagangNews.com








