Lebihan akaun semasa Malaysia diunjur cecah 1.9% daripada KDNK, dibantu eksport kukuh - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebihan akaun semasa Malaysia diunjur cecah 1.9% daripada KDNK, dibantu eksport kukuh - penganalisis

Gambar hiasan oleh JOHARDY/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Feb - Kenanga Research mengunjurkan lebihan akaun semasa Malayia mencapai 1.9% daripada KDNK pada 2025 berbanding 1.7% pada 2024, didorong oleh eksport teguh dan kemasukan pelancong kukuh.

 

Walaupun perdagangan global dijangka terkesan daripada ancaman tarif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Kenanga berkata, eksport Malaysia diramal terus mengatasi import. 

 

"Kami juga meramalkan Malaysia akan menerima kemasukan pelancong kukuh yang mungkin mendorong kepada lebihan akaun perkhidmatan, menyokong keseimbangan lebihan akaun Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Lebihan akaun semasa Malaysia melonjak kepada RM11.4 bilion atau 2.3% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku keempat 2024 (4Q24), meningkat 0.4% daripada RM2.2 bilion pada 3Q24.

 

Firma penyelidikan itu berkata,lebihan akaun semasa berkembang sedikit kepada 1.7% pada 2024 berbanding dengan KDNK 1.5% pada 2023.

 

"Peningkatan itu didorong oleh lebihan barangan lebih tinggi dan defisit perkhidmatan lebih kecil, walaupun defisit yang lebih luas dalam kedua-dua pendapatan primer dan sekunder mengimbangi sebahagian daripada keuntungan.

 

“Kemerosotan dalam pertumbuhan KDNK pada 4Q24, iaitu 5% tahun ke tahun (YoY) turut menyumbang kepada lebihan yang semakin besar,” katanya.

 

Dalam nota kajian berasingan, CIMB Securities juga menjangkakan lebihan akaun negara akan terus berpulih pada kadar lebih cepat mencecah RM41.3 bilion atau 2% daripada KDNK 2025. 

 

"Ramalan ini disokong oleh pemulihan perdagangan global, kemasukan pelancong kukuh dan kitaran teknologi yang dijangka terus menyokong eksport elektrik dan elektronik," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kemasukan semula pelancongan memainkan peranan penting dalam lebihan akaun semasa Malaysia dan membantu mengimbangi defisit yang semakin meluas dalam kedua-dua akaun pendapatan primer dan sekunder. - DagangNews.com