KUALA LUMPUR 18 Mac — Lebih 11,000 petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) digerakkan bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri, demi keselesaan rakyat.
Sebagai langkah kesiapsiagaan, syarikat utiliti itu melaksanakan pemantauan berterusan terhadap sistem rangkaian dan aset kritikal selain menaik taraf infrastruktur bekalan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Kanan Rangkaian TNB, Mahathir Nor Ismail, berkata pasukan teknikal bertugas secara giliran bermula tiga hari sebelum Syawal bagi memastikan sebarang gangguan dapat ditangani segera.
“Komitmen ini amat penting bagi memastikan rakyat Malaysia, khususnya umat Islam dapat menyambut perayaan Aidilfitri dengan selesa bersama-sama keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam memastikan operasi berjalan lancar jelas beliau, TNB turut memperkukuh saluran perkhidmatan pelanggan melalui CareLine yang beroperasi 24 jam, termasuk menerusi platform media sosial.


Selain itu, 136 jana kuasa bergerak ditempatkan di lokasi strategik, disokong 379 buah kenderaan teknikal seperti kren 'auger', 'skylift' dan lori penyelenggaraan sebagai langkah kontingensi.
TNB juga melaksanakan langkah mitigasi tambahan seperti pengimbangan beban, peningkatan kapasiti transformer dan penambahbaikan rangkaian bagi menjamin kestabilan sistem pengagihan elektrik.
"Dalam pada itu, orang ramai pula diingatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik sepanjang musim perayaan tersebut dan mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemat," tambah Mahathir.


Langkah berkenaan jelas beliau, termasuk memastikan peralatan elektrik dalam keadaan baik, tidak membebankan soket serta mematikan suis utama di rumah sebelum keluar untuk pulang ke kampung.
Pengguna katanya, turut digalakkan mengoptimumkan penggunaan tenaga dengan menetapkan suhu pendingin hawa antara 24°C hingga 26°C, serta menggunakan peralatan elektrik secara cekap.
Masyarakat juga ujar Mahathir, boleh memanfaatkan cahaya semula jadi pada waktu siang, serta bijak merancang pelbagai aktiviti memasak secara cekap seperti membakar kuih raya dalam satu masa.


"Di samping itu, tidak menggunakan banyak peralatan elektrik berkuasa tinggi secara serentak, dan memastikan peti sejuk tidak diisi terlalu penuh agar dapat berfungsi lebih optimum," katanya.
Bagi pengguna meter pintar, pemantauan penggunaan elektrik boleh dilakukan melalui aplikasi myTNB bagi membantu dalam merancang penggunaan tenaga dengan lebih efisien sepanjang musim perayaan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan keselamatan dan penjimatan tenaga melalui saluran rasmi TNB termasuk CareLine dan media sosial syarikat berkenaan. - DagangNews.com








