KUALA LUMPUR 4 Mac - Lanjutan kontrak sewaan pelantar jack up Naga 8 diyakini melonjakkan sedikit pendapatan Velesto Energu Bhd tetapi ia akan diimbangi oleh kelewatan Naga 3.
TA Securitie berkata, pelantar jack up Naga 5 berkemungkinan kekal tiada penyewa pada awal 2025 dengan kumpulan itu merundingkan kontrak dengan pihak berkaitan.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu yakin dalam mendapatkan kontrak dan mengukuhkan kedudukan kumpulan bermula Jun 2025.
Sebelum ini, pada November 2024, anak syarikatnya,Velesto Drilling Sdn Bhd menerima notis penggantungan kontrak Naga 8 daripada Carigali Hess Operating Company Sdn Bhd.
"Naga 8 ialah pelantar yang mampu menggerudi sehingga 30,000 kaki, dengan kedalaman air operasi berkadar 400 kaki.
"Penggantungan itu berkuat kuasa pada 10 Feb 2025, atau setelah selesai penyahmobilisasi kontrak, yang mana terkemudian, sehingga notis selanjutnya daripada Carigali Hess," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, untung bersih FY24 kumpulan itu melonjak kepada RM207.7 juta daripada RM99.5 juta setahun lalu dengan hasil naik kepada RM1.36 bilion, meningkat 12% daripada RM1.2 bilion.
Prestasi Velesto didorong purata kadar sewa harian yang bertambah baik sebanyak AS$118,000 pada FY24 berbanding AS$94,000 setahun lalu.
Ia juga disokong penggunaan pelantar yang lebih tinggi pada 87% (FY23: 83%) di bawah segmen perkhidmatan penggerudian, serta penyiapan projek i-RDC di bawah pengurusan projek bersepadu.
Firma penyelidikan itu berkata, penggantungan kontrak itu adalah disebabkan oleh penyiapan awal program penggerudian.
“Bagaimanapun, laporan terkini menunjukkan Naga 8 kekal beroperasi di bawah Carigali Hess sehingga April 2025, menambah dua bulan tambahan hasil," katanya.
Selain itu, TA Securities pada mulanya menjangkakan Naga 3 akan kembali ke Labuan untuk Tinjauan Berkala Khasnya pada awal Januari 2025.
"Bagaimanapun, cuaca buruk telah memanjangkan tempohnya di Vietnam untuk suku seterusnya, membawa kepada prestasi suku ketiga yang lebih lemah daripada jangkaan," katanya.- DagangNews.com








