KUALA LUMPUR 17 Mac — Peralihan pengeluaran kepada modul optik berkelajuan tinggi 800G dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan pendapatan EG Industries Berhad pada separuh kedua FY26.
Menurut Phillip Capital, peningkatan pengeluaran modul optik generasi baharu tersebut, bersama pengembangan produk baharu berkaitan pusat data (DC), berpotensi meningkatkan margin keuntungan.
Firma penyelidikan berkenaan dalam analisisnya berpandangan, usaha kumpulan itu diyakini dapat memperkukuh prospek pertumbuhan syarikat, dan menyokong prestasi kewangan yang lebih teguh.
"Justeru, kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.70 sesaham, berdasarkan penilaian 20 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi unjuran FY27," katanya dalam nota.
Tambah Phillip Capital, pengeluaran modul optik 800G di fasiliti EG Industries di Batu Kawan, Pulau Pinang disifatkan ketika ini berada pada landasan yang kukuh kepada syarikat tersebut.
Langkah peralihan campuran produk juga dijangka memberi kesan positif kepada margin keuntungan apabila modul 800G yang bernilai lebih tinggi semakin mendominasi pengeluaran di kilang berkenaan.
Firma itu meramalkan sumbangan modul 400G berkurangan daripada 80% pada suku kedua FY26 kepada 40%, manakala modul 800G pula akan meningkat kepada kira-kira 60% menjelang suku ketiga FY26.
"Pada masa sama, kami optimis terhadap EG Industries berikutan kadar hasil pengeluaran juga bertambah baik kepada 80%, mencerminkan kemajuan operasi yang stabil," kata Phillip Capital.
Jelasnya, peningkatan kadar 'yield' dan sumbangan lebih besar daripada modul 800G serta produk akses tanpa wayar 5G dijangka menyokong pengembangan margin keuntungan pada separuh kedua FY26.

Untuk tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026, syarikat rumusan teknologi itu tambah firma penyelidikan tersebut, sudah pun mencatatkan margin keuntungan bersih yang mencecah sekitar 6.8%.
Selain modul optik, Phillip Capital berkata, EG Industries Berhad turut memperkukuh prospek pertumbuhannya melalui produk baharu untuk aplikasi pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC).
"Produk kabel elektrikal aktif (AEC) dan 'direct attach copper' (DAC) keluarannya telah berjaya melepasi audit kelayakan pelanggan dan kini bersedia untuk pengeluaran komersial," katanya.
Syarikat berkenaan juga tambah firma tersebut sudah memperoleh ramai pelanggan bagi tempahan ke atas produk itu dengan sumbangan pendapatan dijangka bermula menjelang suku keempat FY26.
Kemudahan pengeluaran baharu di Thailand dijangka siap akhir 2026, membolehkan kumpulan meneroka luas peluang dalam sektor penyimpanan tenaga, kenderaan elektrik (EV) serta aplikasi arus terus.
Dalam pada itu, Phillip Capital turut menjelaskan bahawa isu ketegangan geopolitik di rantau Timur Tengah sejak 28 Februari 2026 dijangka hanya memberi kesan terhad kepada operasi EG Industries.
"Sebarang kenaikan kos bahan mentah biasanya dipindahkan kepada pelanggan, manakala kos logistik kebanyakan ditanggung oleh pelanggan di bawah terma penghantaran 'free on board' (FOB)," katanya.
Prospek jangka sederhana syarikat pula positif susulan peningkatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan awan yang memacu permintaan komponen rangkaian berkelajuan tinggi.
Bagaimanapun, antara risiko yang boleh menjejaskan unjuran itu termasuk kehilangan pelanggan utama, kelewatan dalam peningkatan pengeluaran dan permintaan pelanggan yang lebih lemah. - DagangNews.com








