KUALA LUMPUR 18 Mei – Land & General Berhad (L&G) melancarkan pembangunan kediaman bertingkat pegangan bebas terbaharunya, Damansara Laverra, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM752 juta di Bandar Sri Damansara.
L&G memaklumkan lebih 600 unit berjaya ditempah dalam tempoh sehari pelancaran, mewakili kira-kira 61% daripada keseluruhan unit yang ditawarkan di bawah pembangunan berkenaan.
“Sambutan tersebut mencerminkan keyakinan pasaran yang masih kukuh terhadap projek kediaman pegangan bebas di kawasan strategik selain memperlihatkan permintaan berterusan dalam koridor Damansara.
“Prestasi ini turut disokong kejayaan projek berhampiran milik kumpulan tersebut iaitu Damansara Livista dan Residensi Kamelia yang masing-masing mencatat kadar pengambilan sekitar 90% dan 83% setakat 30 April 2026,” katanya dalam satu kenyataan.
Damansara Laverra dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 2.84 ekar dan terdiri daripada dua menara yang menempatkan sebanyak 1,008 unit kediaman.
Pembangunan itu menawarkan pilihan susun atur dua, tiga dan empat bilik dengan keluasan binaan antara 725 kaki persegi hingga 1,150 kaki persegi bagi memenuhi keperluan pembeli yang mahu menaik taraf kediaman serta keluarga yang sedang berkembang.
Harga jualan purata projek itu adalah sekitar RM870 bagi setiap kaki persegi dan disasarkan siap sepenuhnya menjelang suku kedua tahun 2030.

Dari segi lokasi, Damansara Laverra terletak kira-kira 500 meter dari stesen Transit Aliran Massa (MRT) Sri Damansara West yang akan dihubungkan melalui laluan berbumbung.
Pembangunan itu juga mempunyai akses mudah ke rangkaian lebuh raya utama selain mendapat manfaat daripada ekosistem Bandar Sri Damansara yang lengkap dengan kemudahan gaya hidup, pusat komersial dan institusi pendidikan.
Antara kemudahan berhampiran termasuk The FLO, Ativo Plaza dan pusat beli-belah DA Central Mall yang bakal dibangunkan selain sekolah milik kumpulan itu iaitu Sri Bestari Private School dan Sri Bestari International School.
Sementara itu, Pengarah Urusan Low Gay Teck berkata Damansara Laverra menawarkan peluang kepada pembeli untuk memiliki kediaman bertingkat pegangan bebas dengan pilihan sehingga empat bilik tidur dalam salah satu kawasan kediaman paling matang dan mapan di Lembah Klang.
“Bandar Sri Damansara terus menarik minat pembeli kerana memiliki ekosistem perbandaran lengkap, jaringan pengangkutan yang baik serta tahap kebolehdiaman jangka panjang yang tinggi untuk keluarga dan pemilik kediaman sendiri.
“Damansara Laverra turut menampilkan konsep hanya lapan hingga 12 unit bagi setiap tingkat dengan empat disediakan bagi meningkatkan privasi dan keselesaan penghuni,” katanya.
Selain itu, ia turut dilengkapi pelbagai kemudahan gaya hidup seperti kolam renang 50 meter, air terjun tiga tingkat serta kawasan rekreasi “Camping by the Sky” yang berpusat di taman Senses Park seluas 5.21 ekar. - DagangNews.com








