Lagenda Properties umum pelantikan Jasrinderjit Singh sebagai CEO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lagenda Properties umum pelantikan Jasrinderjit Singh sebagai CEO

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 2 Jan - Lagenda Properties Berhad mengumumkan pelantikan Jasrinderjit Singh Dhillon, 35, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Kumpulan itu, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

 

Menurut kenyataan syarikat, pelantikan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik Lagenda untuk menyokong peluasan perniagaan pada masa hadapan serta memperkukuh kepimpinan dan tadbir urus korporat merentasi organisasi.

 

Sebelum ini, Jasrinderjit memegang jawatan sebagai Ketua Pelaburan, Strategi dan Perhubungan Korporat Lagenda.

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) Kelas Pertama dari University of the West of England, Bristol, dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang nasihat perundangan, kewangan korporat serta pengurusan strategik.

 

Beliau memulakan kerjaya sebagai peguam korporat di Wong & Partners, dengan penglibatan dalam pelbagai transaksi kompleks termasuk penggabungan dan pengambilalihan rentas sempadan, tawaran awam permulaan (IPO), usaha sama serta penstrukturan semula korporat.

 

Jasrinderjit kemudiannya beralih ke sektor kewangan korporat di Quantephi Sdn Bhd, di mana beliau memperkukuh kepakaran dalam urus niaga M&A, penstrukturan semula dan latihan pembiayaan semula.

 

Sejak menyertai Lagenda pada 2018, beliau telah memegang beberapa peranan kepimpinan utama. Dalam jawatan terbaharunya, beliau memainkan peranan penting dalam merangka strategi korporat Kumpulan, memacu inisiatif peluasan perniagaan, menyelia aktiviti pasaran modal serta memperkukuh penglibatan pemegang kepentingan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, saham Lagenda ditutup pada harga RM1.25 pada hari dagangan terakhir tahun ini, sekali gus meletakkan permodalan pasaran Kumpulan pada kira-kira RM1.05 bilion.

 

Lagenda Properties Berhad merupakan pemaju hartanah yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia. Sejak memulakan pembangunan perumahan mampu milik pada 2018, Kumpulan itu memberi tumpuan kepada pembinaan bandar kendiri bermula di Perak sebelum berkembang ke Selangor, Johor, Kedah, Pahang dan Negeri Sembilan.

 

Dengan pegangan tanah seluas 1,902 hektar (4,699 ekar) di enam negeri, Lagenda menumpukan kepada pembangunan bandar berorientasikan komuniti yang dilengkapi kemudahan awam bagi memenuhi keperluan pembeli rumah Malaysia, khususnya dalam segmen pendapatan B40 dan M40, selari dengan aspirasi jangka panjangnya untuk menjadi pemaju mampan terkemuka negara. - DagangNews.com