KUALA LUMPUR 25 Feb - Lagenda Properties Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 24% kepada RM46.09 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) berbanding RM37.22 juta pada suku sama tahun lalu didorong sumbangan lebih tinggi daripada jualan baharu serta kemajuan pembinaan.
Kumpulan itu berkata, pendapatan suku keempat bagaimanapun susut 2.4% kepada RM233.9 juta berbanding RM239.65 juta pada suku sama tahun tahun lalu disebabkan pembinaan projek yang baharu dilancarkan seperti La' Indera Fasa 1A (Kuantan, Pahang), Puncak Warisan Fasa 1 (Kota Tinggi, Johor) dan Lagenda Suria Fasa 1A dan 1B (Mersing, Johor) masih dalam peringkat awal.
Untung bersih bagi keseluruhan tahun FY2024 melonjak sebanyak 24.6% kepada RM184.6 juta, berbanding RM 148.1 juta pada FY23, manakala pendapatan tahunan meningkat sebanyak 18.4% kepada RM988.77 juta dari RM834.87 juta sebelumnya.
"Kumpulan melaporkan jualan sebanyak RM265.6 juta untuk Q4FY2024, dengan jualan keseluruhan tahun mencatat RM1.13 bilion, ini adalah jualan rekod tertinggi dalam sejarah.
"Lagenda juga melaporkan jualan belum dibil sebanyak RM896.3 juta, dengan tempahan mencapai RM473.4 juta. Bank tanah kumpulan adalah 2,049 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM13 bilion pada FY24," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Jimmy Doh berpuas hati dengan pencapaian kumpulan didorong penyiapan projek tepat pada masanya serta prestasi jualan yang baik selain pelancaran projek bahari yang Berjaya.
"Kumpulan masih aktif mengejar prospek pertumbuhan dalam sektor ini, dengan mencapai sasaran pertumbuhan jualan sebanyak 30% bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang berterusan.
"Kami teruja untuk memperluaskan jejak kami di negeri Johor dengan pelancaran projek baru yang berskala besar di Kulai, memperkukuhkan komitmen kami sebagai pemaju rumah mampu milik yang diutamakan di seluruh Malaysia," katanya.
Lembaga Pengarah Lagenda mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 3.50 sen setiap saham, berjumlah RM29.31 juta, perlu dibayar pada 20 Mei 2025.
Jumlah dividen bagi pemegang saham Lagenda untuk FY24 adalah 6.50 sen setiap saham atau berjumlah RM54.43 juta. - DagangNews.com








