KWSP nafi dakwaan salah laku dalam urusan jual beli saham MAHB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWSP nafi dakwaan salah laku dalam urusan jual beli saham MAHB

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 12 Feb -  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menafikan sebarang dakwaan salah laku atau pelanggaran peraturan dalam urusan jual beli saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan kerugian yang dialami daripada penjualan tersebut. 

 

KWSP menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas dan semua urusan pelaburan dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan.

 

"Selaras dengan dasar ‘Chinese Wall’ KWSP, terdapat sempadan yang ketat antara pasukan yang mempunyai akses kepada maklumat bukan awam dan pasukan yang mengendalikan pelaburan pasaran awam bagi memastikan tiada pertindihan maklumat di antara kedua-duanya.

 

"Pasukan pelaburan pasaran awam beroperasi secara bebas dan membuat keputusan dagangan hanya berdasarkan maklumat yang tersedia secara umum," katanya dalam satu kenyataan.

 

kwsp

 

Menurut KWSP, pihaknya juga mengalu-alukan sebarang semakan dan siasatan terhadap pelaburannya dalam MAHB serta kekal komited terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban.

 

Sebelum ini, beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik mendesak KWSP menjelaskan penjualan saham MAHB yang dimilikinya pada Januari 2023 dengan harga sekitar RM6.74 seunit sebelum membelinya semula pada harga tawaran RM11 seunit dalam usaha menswastakan MAHB.

 

Sehubungan itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa individu penting termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung dakwaan kerugian dalam urus niaga saham MAHB oleh KWSP.

 

Konsortium diketuai Khazanah Nasional Bhd dan KWSP, Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) pada akhir bulan lalu berjaya memperoleh jumlah saham yang mencukupi untuk menyahsenarai MAHB dan menjadikan pengendali lapangan terbang itu sebuah syarikat persendirian, hampir lapan bulan selepas cadangan pengambilalihan tersebut dikemukakan.

 

Dengan syarat penerimaan telah dipenuhi, pengemuka tawaran bersama berkenaan membuka tawaran sehingga 5 petang hari ini, lanjutan kali keempat sejak tarikh akhir asal pada 8 Januari 2025.

 

Susulan itu, Bursa Malaysia akan menggantung dagangan saham MAHB pada 20 Februari 2025, sebagai persediaan untuk menyahsenarai syarikat itu daripada Pasaran Utama.

 

GDA adalah konsortium yang terdiri daripada Khazanah, KWSP, Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) milik BlackRock.

 

Konsortium itu melancarkan tawaran pengambilalihan sukarela pada harga RM11 sesaham, yang menilai pengendali lapangan terbang di Malaysia dan Turkiye itu pada RM18.4 bilion. - DagangNews.com