KUALA LUMPUR 12 Jun – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) memeterai kerjasama dengan Malaysia Forest Fund (MFF) bagi memperkukuh agenda kelestarian negara sejajar komitmen Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050.
Kerjasama itu bertujuan menyokong peralihan Malaysia kepada ekonomi sifar bersih dengan membangunkan kredit karbon nasional yang berskala dan diyakini, serta memperkasa pelabur institusi KWAP dalam mencapai matlamat nyahkarbon.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, kerjasama itu menjadi pemangkin perubahan dalam usaha kelestarian negara menerusi pembangunan ekosistem karbon domestik.
"KWAP komited bangun ekosistem karbon nasional yang lebih dipercayai bagi memperkasa syarikat pelaburannya dengan alat dan kerangka mencapai komitmen sifar bersih, sekali gus sokong matlamat iklim dan biodiversiti negara," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFF, Datuk Shah Redza Hussein berkata, kerjasama itu menjadi pemacu penting dalam memperkukuh pasaran karbon tempatan serta memacu tindakan iklim secara bermakna.
"Kerjasama ini juga membawa manfaat jangka panjang dari sudut alam sekitar dan ekonomi, bukan untuk Malaysia sahaja malah komuniti global," katanya.
MoU itu turut memperkenalkan Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC) bagi menyokong pemuliharaan biodiversiti dan ekosistem penting negara, selain membangunkan mekanisme pasaran baharu dikenali Pampasan Karbon Hutan (FCO).

Perjanjian dimeterai sempena KWAP Inspire Satellite 2025 dan disaksikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan merangkap Pengerusi KWAP, Datuk Johan Mahmood Merican.
FCO membolehkan syarikat mengimbangi pelepasan karbon melalui pelaburan dalam projek pemuliharaan hutan yang mampu mengurang, menyingkir atau mengelak pelepasan karbon.
Melalui MoU itu, KWAP turut menyertai Kumpulan Kerja Teknikal Pampasan Karbon Hutan (FCO TWG) Kebangsaan bagi memastikan keperluan pelabur institusi, termasuk aspek pelaburan ESG, diambil kira dalam pembangunan piawaian mekanisme tersebut.
Inisiatif itu selaras dengan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0, menyokong pengurangan intensiti karbon sebanyak 45% menjelang 2030 serta pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050, termasuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% kawasan liputan hutan dan pokok.
KWAP dan MFF akan meneroka potensi penyepaduan rumusan berasaskan alam semula jadi ke dalam strategi pelaburan ESG, termasuk memperluas sistem FCO sebagai pemacu utama pembangunan mampan negara.
Dalam masa sama, KWAP turut merancang memperluas kerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), selaras Program Pengaktifan dan Pembaharuan Entiti Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang diterajui Kementerian Kewangan.
Langkah itu selari dengan komitmen KWAP menerusi Ikrar Kelestarian 2, iaitu memperkasa kerjasama untuk tindakan bersama demi kelestarian masa depan negara.- DagangNews.com








