KWAP catat pendapatan pelaburan tertinggi RM18.0 bilion, saiz dana naik kepada RM169.8 bilion pada 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWAP catat pendapatan pelaburan tertinggi RM18.0 bilion, saiz dana naik kepada RM169.8 bilion pada 2024

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Feb — Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP mencatatkan pendapatan pelaburan tertinggi dalam sejarahnya iaitu RM18.0 bilion pada 2024 dengan pulangan keseluruhan sebanyak 12 peratus.

 

Ini menyaksikan saiz dananya meningkat sebanyak RM15.8 bilion kepada RM185.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2024 (FY2024).
 

Perkembangan cukup positif tersebut menurut kenyataan KWAP hari ini, berjaya mencerminkan peningkatan kira-kira 9.3 peratus daripada RM169.8 bilion yang direkodkan pada 2023.
 

Malah sebelum diambil kira pengeluaran sebanyak RM5 bilion untuk membiayai sebahagian tanggungan pencen kerajaan, peningkatan kasar sebanyak RM20.8 bilion tahun ke tahun menyerlahkan kejayaan berterusan strategi pelaburan berdisiplin KWAP serta tumpuannya terhadap pertumbuhan jangka panjang.

 

Sejak penubuhannya pada 2007, saiz dana KWAP mencatatkan peningkatan empat kali ganda, dengan purata pertumbuhan 9.1 peratus setahun dengan tumpuannya sekarang lebih terhadap pertumbuhan jangka panjang yang mampan.


KWAP tambah kenyataan berkenaan, turut mencatatkan pendapatan bersih tertingginya sebanyak RM12.9 bilion pada 2024, dengan memberikan jumlah pulangan sebanyak 12.0 peratus.


Pelaburan domestik dana tersebut berjaya menjana pulangan sebanyak 12.9 peratus, manakala portfolio antarabangsa pula memberikan pulangan sebanyak 9.0 peratus.
 

KWAP berkata, keputusan itu berpunca daripada ekuiti awam yang menjana jumlah pulangan sebanyak 21.9 peratus, dengan ekuiti domestik mencapai 23.2 peratus dan ekuiti antarabangsa mencapai 16.9 peratus.
 

Strategi peruntukan aset dana kekal pelbagai dan berdaya tahan, dengan 74.6 peratus portfolionya dilaburkan di dalam negara manakala hanya 25.4 peratus di peringkat antarabangsa.
 

Sehingga 31 Disember 2024, portfolio KWAP telah diperuntukkan 51.7 peratus dalam ekuiti, 32.4 peratus dalam pendapatan tetap, 5.4 peratus dalam ekuiti persendirian, 5.2 peratus dalam hartanah, dan 2.2 peratus dalam infrastruktur dengan baki dalam pengurusan tunai untuk tujuan mudah tunai.
 

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, strategi peruntukan aset ini telah membolehkan dana mampu mengoptimumkan pulangan pelaburannya dalam keadaan pasaran yang berbeza-beza.
 

"Prestasi luar biasa KWAP pada 2024 mencerminkan pendekatan pelaburan kami yang berdisiplin, disokong oleh daya tahan ekonomi Malaysia. Pasaran domestik yang stabil dan dasar sokongan di bawah Kerajaan Madani memainkan peranan penting dalam mengukuhkan pulangan.

 

"Ini membolehkan kami mencipta nilai jangka panjang yang mampan untuk pemegang kepentingan kami. Walaupun ketidaktentuan global dan risiko geopolitik kekal, kami akan terus berwaspada, dengan menyesuaikan strategi untuk mengurangkan risiko dan merebut peluang yang muncul," tambahnya.
 

Pengerusi KWAP, Datuk Johan Mahmood Merican bahkan turut melahirkan keyakinannya dengan perkembangan positif dana berkenaan dan menyifatkan prestasi yang membanggakan pada 2024 mencerminkan kekuatan strategi dan dedikasi pasukan.
 

"Mencapai keputusan terbaik kami setakat ini menyerlahkan usaha berterusan kami untuk menyokong kemampanan kewangan jangka panjang ekosistem pencen.
 

"Kami yakin tumpuan berterusan kami terhadap pelaburan strategik dan kemampanan akan mengukuhkan lagi sumbangan KWAP kepada ekosistem pencen Malaysia untuk generasi akan datang," katanya.
 

KWAP berkhidmat kepada lebih 810,000 penerima pencen di seluruh Malaysia setakat 31 Disember tahun lepas. Ini mewakili peningkatan 2.4 peratus, atau lebih daripada 19,000 penerima pencen tambahan berbanding 2023.
 

KWAP ujarnya, dapat mengekalkan 99.8 peratus skor prestasi Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA), jauh melebihi ambang ditetapkan iaitu 95 peratus.
 

KWAP juga meningkatkan jangkauannya kepada pesara melalui inisiatif seperti Jelajah MyPesara, yang melibatkan lebih 8,000 peserta di 40 lokasi, dan Karnival MyPesara, yang menarik lebih 20,000 pengunjung di Johor Bahru.
 

Pada 2024, KWAP terus menyokong usaha kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi kalis masa hadapan melalui pelaburan dalam sektor keutamaan seperti pusat data dan tenaga mampan di bawah inisiatif GEAR-UP.
 

KWAP turut mengukuhkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya agar sejajar dengan trend global yang berkembang, membenamkan prinsip pelaburan yang bertanggungjawab merentas portfolionya.
 

Di bawah program GEAR-uP yang diterajui oleh Kementerian Kewangan, KWAP kekal komited untuk melabur sehingga RM40 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang dalam pasaran swasta domestik, dengan kerjasama pelbagai pihak untuk membantu memangkin pertumbuhan dalam sektor ekonomi utama di Malaysia. - DagangNews.com