KUALA LUMPUR 10 Julai - Kumpulan Kitacon Berhad diramal mencatatkan pendapatan lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25), apabila projek pembangunan perbandaran Bandar Bukit Raja dan Elmina hampir siap, selain peluasan margin yang lebih baik, kata CGS International.
Katanya, minat pasaran yang semakin meningkat terhadap projek-projek pembangunan Kitacon dapat dilihat melalui buku tender bernilai RM913 juta (17% projek industri dan 83% projek kediaman) setakat 23 Jun 2025.
“Kitacon juga sedang giat memperluas pangkalan pelanggannya dengan menyertai tender bagi projek pelanggan baharu akan membawa kepada kepelbagaian dan peluang kontrak pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu lebih yakin, tiada kelewatan ketara dari segi jualan atau pelancaran hartanah di Malaysia.
CGS International berkata, Kitacon telah memperoleh kontrak baharu bernilai RM375 juta, termasuk projek kediaman bernilai RM88 juta yang dianugerahkan oleh Kumpulan GuocoLand.
Katanya, potensi pertumbuhan pendapatan Kitacon boleh didorong keupayaannya untuk mengembangkan margin keuntungan, membolehkan syarikat mengekalkan bahagian pendapatan yang lebih tinggi sebagai keuntungan, dengan memberi tumpuan kepada pengoptimuman kos selepas mencatatkan pengembangan margin untung kasar sebanyak 15.6% pada suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25).
Firma penyelidikan itu berkata, pelabur seakan-akan mengabaikan pertumbuhan pendapatan Kitacon yang semakin baik, disokong trajektori margin yang positif dan rekod prestasi pelaksanaan kukuh sebagai kontraktor utama kepada pemaju kelas 1.
“Pelabur mengabaikan peningkatan pendapatan dan trajektori margin Kitacon, serta rekod pelaksanaan kukuhnya sebagai kontraktor utama kepada pemaju kelas 1,” kata CGS.
“Kami menyukai Kitacon sebagai proksi menarik bagi sektor hartanah yang berdaya tahan,” katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "tambah" dengan harga sasaran (TP) RM1.43 sesaham.- DagangNews.com








